Sembilan warga Indonesia fail aduan terhadap Netanyahu - Utusan Malaysia

Sembilan warga Indonesia fail aduan terhadap Netanyahu

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sembilan warga Indonesia daripada aktivis global yang ditahan ketika cuba membawa bantuan ke Gaza pada Mei lalu telah memfailkan aduan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyah, pada Rabu atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan, menurut peguam mereka kepada AFP.

Kesemua lelaki itu merupakan sebahagian daripada kumpulan Global Sumud Flotilla yang dipintas oleh Israel dan ditahan bersama lebih 400 aktivis lain, dengan sebahagian daripada mereka ditahan selama beberapa hari.

Kumpulan itu pada Rabu meminta Pejabat Peguam Negara Indonesia menyiasat Israel atas beberapa kesalahan termasuk lanun di laut dan jenayah terhadap kemanusiaan, kata peguam, Kafin Muhammad.

“Kami meminta Peguam Negara Republik Indonesia menjalankan siasatan terhadap jenayah yang didakwa dilakukan oleh Israel Zionis,” katanya kepada AFP.

Kafin berkata, Kanun Jenayah Indonesia memberikan mahkamah negara itu bidang kuasa sejagat terhadap kes melibatkan jenayah yang dilakukan di luar sempadan negara.

Menurutnya, aduan itu menamakan Netanyahu secara khusus sebagai panglima tertinggi Israel.

Beliau berkata, aduan itu turut merangkumi keterangan daripada para sukarelawan mengenai penderaan yang mereka dakwa dialami ketika ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

Jurucakap Pejabat Peguam Negara Indonesia tidak memberi maklum balas terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

Layanan Israel terhadap aktivis flotila itu mencetuskan kecaman antarabangsa selepas seorang menteri Israel memuat naik video yang menunjukkan para sukarelawan tersebut dipaksa berlutut dengan tangan mereka diikat

Negara-negara termasuk Perancis, Itali dan Australia telah membuka siasatan berhubung perkara itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN