Otunnu sertai perebutan jawatan Setiausaha Agung PBB

Otunnu sertai perebutan jawatan Setiausaha Agung PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Perebutan jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini melibatkan tujuh calon selepas bekas calon presiden pembangkang Uganda yang juga bekas pegawai kanan PBB, Olara Otunnu secara rasmi menyertai persaingan pada Sabtu.

PBB memaklumkan kepada negara-negara anggota mengenai pencalonan Otunnu, 75, yang dikemukakan oleh negara asalnya, Uganda.

Otunnu pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung PBB serta Wakil Khas bagi Kanak-Kanak dan Konflik Bersenjata dari 1997 hingga 2005 ketika era kepimpinan bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan.

Beliau juga pernah menjadi wakil tetap Uganda ke PBB serta berkhidmat sebagai menteri luar negara itu untuk tempoh yang singkat.

Otunnu bertanding sebagai calon presiden mewakili parti pembangkang Uganda People’s Congress pada pilihan raya 2011, namun tewas kepada Yoweri Museveni yang telah memegang jawatan presiden sejak 1986.

Sebelum ini, enam calon lain yang telah mengesahkan penyertaan ialah Michelle Bachelet dari Chile, Maria Fernanda Espinosa (Ecuador), Rafael Grossi (Argentina), Rebeca Grynspan (Costa Rica), Carolyn Rodrigues-Birkett (Guyana) dan Macky Sall (Senegal).

Kesemua mereka bersaing untuk menggantikan Antonio Guterres yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Setiausaha Agung PBB pada 31 Disember ini.

Enam calon berkenaan telah mengambil bahagian dalam debat yang disiarkan secara langsung pada Khamis lalu.

Pada 30 Julai, 15 anggota Majlis Keselamatan PBB dijadual mengadakan undian sulit pertama bagi menentukan calon pilihan masing-masing.

Undian awal itu akan diikuti beberapa lagi pusingan pengundian sehingga seorang calon memperoleh sekurang-kurangnya sembilan undi tanpa menerima veto daripada mana-mana lima anggota tetap Majlis Keselamatan iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain, China, Perancis dan Russia.

Nama calon yang dipilih kemudian akan dikemukakan kepada Perhimpunan Agung PBB untuk pelantikan rasmi.

Setiausaha Agung baharu dijadual memulakan tugas pada 1 Januari 2027.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN