Menteri Pendidikan India letak jawatan selepas bantahan golongan belia - Utusan Malaysia

Menteri Pendidikan India letak jawatan selepas bantahan golongan belia

DHARMENDRA PRADHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI:  Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan meletakkan jawatan pada Sabtu selepas bantahan besar-besaran yang diterajui golongan belia menuntut beliau berundur susulan kemarahan terhadap beberapa siri penyelewengan dalam peperiksaan penting yang boleh menentukan masa depan pelajar.

“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada perdana menteri,” kata Pradhan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X.

Part Lipas Janta  (CJP), sebuah gerakan yang berkembang melalui media sosial, menerajui bantahan pelajar yang tercetus susulan kebocoran kertas peperiksaan dan menuntut pembaharuan menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara.

Demonstrasi di tapak bantahan Jantar Mantar di tengah New Delhi semakin memuncak sepanjang minggu ini sebelum mula merebak ke beberapa bahagian lain di India.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan penunjuk perasaan ketika mereka cuba berarak menuju ke bangunan Parlimen minggu ini.

Kerajaan mengadakan dua pusingan rundingan dengan pemimpin CJP pada Isnin dan Jumaat tetapi  tidak banyak kemajuan dicapai apabila gerakan yang diterajui golongan belia itu tetap bertegas dengan tuntutan mereka.

Pradhan mengumumkan peletakan jawatannya sebelum rundingan ketiga yang dinantikan itu berlangsung.

“Saya berasa sedih melihat apa yang berlaku sepanjang 10 hari lalu. Ini bukan soal maruah peribadi bagi saya,” katanya dalam surat peletakan jawatan yang ditulis dalam bahasa Hindi.

“Kuasa belia India adalah kekuatan sebenar negara ini. Tekad saya ialah kita tidak akan membiarkan golongan muda negara ini terus terperangkap dalam kitaran kekeliruan,” tambahnya.

Pengumuman peletakan jawatan itu disambut dengan sorakan kegembiraan oleh para penunjuk perasaan.

“Kita telah berjaya,” kata pengasas CJP, Abhijeet Dipke yang disambut dengan sorakan gemuruh daripada ratusan penunjuk perasaan.

Sementara itu, CIP  turut mengumumkan bahawa ia menamatkan bantahan yang diterajui golongan belia di New Delhi selepas kerajaan menerima semua tuntutan mereka, menurut jurucakap pergerakan itu.

“Semua tuntutan kami telah diterima, jadi, kami meminta para penunjuk perasaan supaya segera bersurai dan pulang ke rumah secara aman,” kata jurucakap itu, Ashutosh Ranka.

Menurut  Ranka, antara tuntutan lain penunjuk perasaan ialah pemberian pampasan kepada mereka yang terjejas akibat penyelewengan peperiksaan dan pengguguran semua tindakan undang-undang terhadap peserta bantahan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN