Kerajaan Netanyahu dibidas ubah Tebing Barat jadi 'tong serbuk peluru' - Utusan Malaysia

Kerajaan Netanyahu dibidas ubah Tebing Barat jadi ‘tong serbuk peluru’

KENDERAAN tentera Israel bergerak ketika menjalankan serbuan di Nablus, di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Pemimpin parti pembangkang Israel, Yair Golan pada Sabtu memberi amaran bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kini mengubah Tebing Barat yang diduduki menjadi ‘tong serbuk peluru’.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas kumpulan peneroka haram Yahudi dengan perlindungan tentera Israel, menyerang pekan Tell berhampiran Nablus di utara Tebing Barat.

Dalam kejadian itu, empat warga Palestin terkorban dan mencederakan empat yang lain, menurut sumber Palestin.

Dua warga Israel turut terbunuh dalam satu insiden tembakan apabila penduduk tempatan cuba mempertahankan diri daripada serangan berkenaan, kata sumber Palestin dan Israel. 

Susulan kejadian itu, Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz mengarahkan siri pencerobohan ketenteraan berskala besar di seluruh wilayah yang diduduki tersebut.

Menerusi hantaran di platform X, Golan menuduh kerajaan dan menteri berfahaman ekstremis kanan, Bezalel Smotrich serta Itamar Ben-Gvir, sengaja mencetuskan realiti berisiko tinggi di Tebing Barat.

Beliau menegaskan bahawa kumpulan peneroka haram Yahudi telah secara sistematik cuba mencetuskan provokasi, membakar sentimen dan menyeret tentera serta negara Israel ke dalam kancah konfrontasi yang lebih luas sejak beberapa bulan lalu.

“Tindakan ini memburukkan lagi bahaya dan bukannya menjauhkan orang awam daripada titik konflik,” katanya.

Golan menambah, Netanyahu dan Katz kini menjadikan Tebing Barat sebagai ‘tong serbuk peluru’ yang mengancam keselamatan Israel sendiri.

Beliau turut memberi amaran bahawa pertumpahan darah adalah harga yang perlu dibayar akibat peningkatan konflik ini terutamanya oleh tentera Israel yang dihantar untuk berdepan dengan kesan dasar tidak bertanggungjawab. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN