BEIRUT: Tentera Lubnan mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan berhampiran anggotanya yang sedang ditempatkan di sebuah zon perintis di selatan negara itu. Zon itu ialah kawasan yang dijadualkan dikosongkan Israel di bawah perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat (AS).
Kenyataan itu dibuat ketika tentera Lubnan memulakan penempatan di kawasan berkenaan. Ia berlaku ketika Presiden, Joseph Aoun berada di Washington bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump yang menaja perjanjian antara Lubnan dan Israel.
Israel bagaimanapun mendakwa pihaknya hanya melepaskan tembakan amaran.
Israel menceroboh Lubnan ketika perang terbaharu dengan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran dan terus menduduki beberapa kawasan di negara itu meskipun gencatan senjata sudah dipersetujui.
Sehingga kini, tentera Israel hanya menguasai pinggir salah satu daripada kawasan yang dikenali sebagai zon perintis. Pada masa sama, isu pendudukan di kawasan lain masih belum diselesaikan. Tentera Lubnan pula sudah pun memasuki dua lagi zon perintis.
“Unit tentera mula ditempatkan pagi ini di Zawtar al-Gharbiya,” kata tentera Lubnan dalam satu kenyataan.
Seorang wartawan AFP melihat kenderaan tentera, termasuk sebuah yang mengibarkan bendera Lubnan, memasuki kampung itu yang terletak di pinggir kawasan yang digelar Israel sebagai zon keselamatan.
Bagaimanapun, tentera Lubnan kemudian memaklumkan tentera Israel melepaskan tembakan di sekitar unit-unit tersebut dan menegaskan insiden itu akan menghalang proses penempatan.
Tentera Israel berkata, mereka hanya melepaskan tembakan amaran ke udara selepas anggota tentera Lubnan memasuki kawasan yang bukan sebahagian daripada zon perintis dan menambah tiada kecederaan dilaporkan.
Tentera Lubnan menegaskan anggotanya hanya ditempatkan di Zawtar al-Gharbiya. Ia berkata, Israel sepatutnya menangani sebarang isu menerusi Kumpulan Penyelarasan Ketenteraan bagi Lubnan (MCG4L) dan saluran penyelarasan serta komunikasi yang dipersetujui, bukannya melancarkan serangan.
Dalam insiden berasingan, Persatuan Bulan Sabit Merah Lubnan memaklumkan dua petugas penyelamat cedera. Sebuah ambulans turut rosak teruk selepas periuk api meletup berhampiran konvoi menuju ke kawasan diduduki Israel bagi mencari seorang individu yang dilaporkan hilang.
Persatuan Bulan Sabit Merah berkata, pihaknya sudah memperoleh kebenaran yang diperlukan sebelum memasuki kawasan itu dan sedang berusaha memastikan laluan selamat bagi membawa keluar petugas yang cedera.
Media rasmi Lubnan turut melaporkan tentera Israel menahan tiga lelaki dari perkampungan Shebaa di selatan negara tersebut sebelum membebaskan mereka.
Pencerobohan Israel ke atas Lubnan berlaku selepas Hizbullah melibatkan negara itu dalam konflik lebih luas di Asia Barat pada Mac. Hizbullah melancarkan serangan roket ke atas Israel sebagai tanda sokongan kepada Iran.
Lubnan dan Israel menandatangani perjanjian rangka kerja bulan lalu yang bertujuan membolehkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari Lubnan dan pelucutan senjata Hizbullah. entera Lubnan mengambil alih tanggungjawab keselamatan di selatan negara itu. – AFP










