WASHINGTON: Bekas pegawai tertinggi penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci pada Rabu berdepan sesi soal jawab yang tegang daripada senator Republikan mengenai asal usul Covid-19.
Namun, atas nasihat peguamnya, beliau menggunakan hak perlembagaannya untuk tidak menjawab soalan itu.
Ia merupakan episod terbaharu dalam pertelingkahan yang berpanjangan antara Fauci, yang selama beberapa dekad berkhidmat sebagai pakar penyakit berjangkit utama negara itu dengan Senator Republikan, Rand Paul.
Paul memulakan pendengaran dengan mengulangi dakwaannya bahawa ketika Fauci mengetuai Institut Kebangsaan Alergi dan Penyakit Berjangkit (NIAID), AS telah membiayai penyelidikan peningkatan fungsi di China yang menurutnya mencetuskan penularan Covid-19.
Senator itu turut mendakwa Fauci telah berbohong kepada Kongres AS mengenai perkara itu, dakwaan yang berulang kali dinafikan Fauci.
Paul terus mendakwa tanpa bukti, pandemik Covid-19 berpunca daripada kebocoran makmal dan perkara itu telah disembunyikan.
Senator itu telah mengeluarkan sepina terhadap Fauci, yang kini telah bersara, supaya memberi keterangan di hadapan jawatankuasa Senat AS.
Bagaimanapun, merujuk kepada apa yang disifatkannya sebagai obsesi, Paul terhadap dirinya, Fauci berkata, beliau akan menggunakan hak di bawah Pindaan Kelima Perlembagaan AS untuk tidak menjawab soalan bagi mengelakkan daripada menjerat dirinya sendiri.
Beliau mengaku bahawa keputusan itu amat berat untuk dilakukan.
Fauci berkata, peguamnya percaya Paul berniat memerangkap beliau supaya melakukan kesilapan yang boleh membawa kepada pertuduhan memberikan keterangan palsu di bawah sumpah.
Pada akhir pendengaran yang berlangsung hampir tiga jam itu, Paul berkata, jawatankuasa berkenaan akan mengundi minggu depan sama ada mahu mendapati Fauci menghina Kongres kerana menggunakan hak di bawah Pindaan Kelima.
Presiden AS, Donald Trump turut mengulas menerusi media sosial miliknya, Truth Social dengan berkata, idea-idea Fauci pada peringkat awal pandemik adalah ‘gila’, selain menuduh beliau cuba melindungi China.
“Saya sejak awal lagi berkata bahawa virus itu berasal dari Makmal Wuhan di China. Fauci membantah keras dakwaan itu dan sentiasa cuba melindungi China,” kata Trump.
Asal usul pandemik itu terus menjadi perdebatan hangat di AS, termasuk antara Trump, yang memegang jawatan presiden ketika pandemik bermula pada 2020, dengan pegawai kesihatan awam termasuk Fauci. – AGENSI










