WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata, Washington telah menghantar salinan perjanjian dengan Iran kepada Israel selepas laporan mengenai ketegangan antara kedua-dua sekutu itu.
Menurut Trump, langkah tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan Israel dimaklumkan mengenai kandungan perjanjian yang sedang dimuktamadkan antara AS dan Iran, yang bertujuan menamatkan konflik di Asia Barat.
Beliau tidak memperincikan reaksi rasmi daripada kerajaan Israel, namun kenyataan itu hadir ketika Washington berusaha mengekalkan sokongan sekutu serantau terhadap perjanjian tersebut.
Perjanjian itu sendiri yang dilaporkan melibatkan pengurangan program nuklear Iran sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan ekonomi masih menjadi tumpuan perdebatan antarabangsa dengan pelbagai pihak menilai implikasinya terhadap keselamatan serantau.
Sebelum itu, Trump menurunkan tandatangannya pada memorandum persefahaman itu ketika majlis makan malam yang diterangi cahaya lilin di Istana Versailles pada Rabu selepas sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7).
Ia disaksikan dan diberi tepukan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron serta tetamu lain, menurut rakaman video yang dimuat naik oleh seorang pembantu Trump.
“Baru sahaja menandatanganinya,” kata Trump kepada wartawan ketika keluar dari istana itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, yang dipetik oleh agensi berita negara IRNA, berkata, dokumen itu telah dimuktamadkan dengan tandatangan kedua-dua presiden.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang bertindak sebagai pengantara perjanjian itu menulis di platform X bahawa ia akan berkuat kuasa serta-merta.
Perjanjian itu bertujuan menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran,.
Teheran kemudian membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau Asia Barat, sekali gus menutup secara berkesan Selat Hormuz, laluan perairan yang amat penting kepada ekonomi dunia.
AS kemudian bertindak menyekat perkapalan ke dan dari pelabuhan Iran.
“Sebagai langkah pertama, Republik Islam Iran akan segera membuka semula Selat Hormuz dan Amerika akan serta-merta menarik balik sekatan lautnya,” tulis Sharif. – AFP










