Pertempuran meletus, ribuan bantah sidang kemuncak G7 - Utusan Malaysia

Pertempuran meletus, ribuan bantah sidang kemuncak G7

SEORANG penunjuk perasaan membaling rating ke dalam api di Geneva. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Kumpulan penunjuk perasaan bertindak melemparkan batu dan mercun ke arah polis yang kemudian membalasnya dengan tembakan gas pemedih mata serta meriam air dalam satu demonstrasi membantah Sidang Kemuncak Kumpulan 7 (G7) di bandar berhampiran, Evian pada Ahad.

Ribuan penunjuk perasaan membanjiri bandar Switzerland ini bagi menyatakan bantahan terhadap perhimpunan pemimpin-pemimpin utama dunia itu yang dijadualkan bermula di seberang Tasik Geneva di Perancis pada Isnin.

Ketika pertempuran sengit meletus pada petang Ahad antara kumpulan penunjuk perasaan dan pihak berkuasa di beberapa kawasan di Geneva, Presiden Perancis, Emmanuel Macron selaku tuan rumah sidang kemuncak tahun ini dilaporkan sudah pun tiba di Evian.

Beliau mempengerusikan perhimpunan tiga hari itu bagi menyambut ketibaan para pemimpin daripada negara G7 yang lain iaitu Britain, Kanada, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) di bandar peranginan tersebut, selain pemimpin jemputan dari beberapa buah negara lain termasuk Brazil dan India.

Sidang kemuncak kali ini bakal menjadi salah satu perhimpunan antarabangsa utama yang pertama sejak AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada akhir Februari lalu. 

Konflik berkenaan telah menggugat kestabilan di Asia Barat serta melebarkan ketegangan transatlantik.

Kumpulan pemimpin terbabit berdepan agenda padat yang berisiko mencetuskan perdebatan hangat, termasuk usaha-usaha untuk menamatkan perang di Iran, di sebalik dakwaan Presiden AS, Donald Trump mengenai perjanjian damai yang dikatakan semakin hampir namun masih diselubungi ketidakpastian.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut dijadualkan hadir pada persidangan itu, sekali gus meletakkan konflik perang yang dicetuskan oleh pencerobohan berskala penuh oleh Moscow lebih empat tahun lalu kembali menjadi fokus utama.

Sebahagian besar pemimpin dunia termasuk Trump dilapor akan tiba melalui Lapangan Terbang Geneva sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Evian. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN