Peraturan AI di sekolah awam New York cetus kemarahan ibu bapa - Utusan Malaysia

Peraturan AI di sekolah awam New York cetus kemarahan ibu bapa

GAMBAR fail sebuah sekolah di New York. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Garis panduan pertama penggunaan kecerdasan buatan (AI) di sekolah-sekolah awam Bandar Raya New York mengundang kemarahan ramai ibu bapa yang menyifatkan peraturan tersebut terlalu longgar dan menuntut pendekatan lebih tegas.

Rangka kerja bandar raya berkenaan yang diterbitkan pada Mac lalu menggunakan sistem lampu isyarat untuk menentukan skop tugas AI. 

Lampu isyarat merah menyekat penggunaan AI bagi tujuan pemarkahan pelajar atau menentukan penempatan serta laluan akademik mereka di sekolah.

Menerusi sisitem itu jika lampu isyarat kuning berkelip, ia menendakan penilaian yang teliti diperlukan bagi kegunaan pelajar, di mana mereka dibenarkan memanfaatkan AI untuk tujuan penyelidikan, penerokaan, dan projek kreatif.

Bagaimanapun, golongan ibu bapa yang meluahkan kemarahan mereka dalam satu mesyuarat awam yang berlarutan selama tujuh jam mahu pelaksanaan tersebut dihentikan seketika. 

Mereka mendakwa peraturan itu gagal menangani kebimbangan utama termasuk kesan buruk teknologi baharu tersebut terhadap alam sekitar dan ancaman kepada kesihatan mental serta perkembangan kognitif kanak-kanak.

Beberapa organisasi tempatan kini mendesak agar moratorium atau penangguhan selama dua tahun dikuatkuasakan terhadap penggunaan AI di sekolah awam New York, yang menampung lebih 900,000 pelajar.

“Garis panduan tersebut sangat kekurangan butiran terperinci. Ia gagal menangani banyak kebimbangan utama,” kata pengasas bersama Climate Families NYC, Liat Olenick.

“Peraturan itu langsung tidak mengehadkan penggunaan AI dalam kalangan pelajar, jadi ia sangat tidak mencukupi dan tidak memadai,” tambahnya.

Kumpulan yang dipimpin oleh Olenick kini menuntut proses penggubalan peraturan yang lebih ketat dengan mengambil kira pandangan daripada pakar neurosains, iklim dan pendidikan bagi menilai sama ada teknologi tersebut benar-benar sesuai untuk dibawa masuk ke sekolah.

Ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan oleh AFP, Jabatan Pendidikan banda raya  itu berjanji akan menerbitkan buku panduan yang lebih komprehensif pada akhir tahun ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN