PRISTINA: Pilihan raya ketiga Kosovo dalam tempoh lebih setahun menyaksikan parti Vetevendosje pimpinan Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti memenangi undi terbanyak dalam pilihan raya mengejut pada Ahad.
Namun, pilihan raya itu dicemari kadar keluar mengundi rendah dan partinya masih tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Parti Kurti iaitu Vetevendosje memperoleh hampir 43 peratus undi berdasarkan keputusan dari hampir semua pusat pengundian.
Keputusan itu lebih rendah berbanding pilihan raya sebelumnya pada Disember, apabila parti tersebut meraih 51 peratus undi.
Ia tidak mencukupi untuk membolehkan Vetevendosje membentuk kerajaan baharu secara sendiri, sekali gus menunjukkan rundingan pembentukan gabungan yang sukar akan berlaku.
Parti pembangkang utama, Parti Demokratik Kosovo (PDK) dan Liga Demokratik Kosovo (LDK), masing-masing memperoleh 21 peratus dan 17 peratus undi.
Pilihan raya itu diadakan ketika kekecewaan rakyat meningkat terhadap kebuntuan politik yang berpanjangan di negara termuda di Eropah itu.
Parlimen Kosovo yang berpecah tidak berjaya memilih presiden pada April, sekali gus memburukkan lagi krisis politik yang berlarutan sejak pilihan raya parlimen tidak muktamad pada Februari 2025.
“Cukuplah,” kata pesara guru Gezim Selimi kepada AFP selepas mengundi di ibu kota Pristina.
“Saya berharap parti-parti akhirnya sedar dan bekerja untuk Kosovo, bukannya membuang masa berebut kuasa melalui pilihan raya mengejut satu demi satu,” tambahnya.
Walaupun mendahului undian pada pilihan raya Februari 2025, parti Kurti gagal memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan, mencetuskan beberapa bulan perpecahan dalam kalangan ahli parlimen dan akhirnya membawa kepada pilihan raya mengejut pada Disember.
Parti Vetevendosje yang menggabungkan agenda berhaluan kiri dengan nasionalisme kuat sekali lagi mendahului undi dan bergabung dengan ahli parlimen minoriti etnik untuk membentuk kerajaan. – AFP










