FRANKFURT: Sebuah pesawat Boeing 787-9 Dreamliner milik syarikat penerbangan Lufthansa mengalami kerosakan struktur pada bahagian hadapan menyebabkan muncungnya jatuh mencecah landasan di Lapangan Terbang Frankfurt pada Khamis hingga beberapa kakitangan mengalami kecederaan.
Insiden itu dilaporkan berlaku pada pukul 12.45 petang waktu tempatan, sejurus sebelum para penumpang dijadualkan menaiki pesawat tersebut bagi penerbangan ke Los Angeles.
Jurucakap syarikat penerbangan itu memaklumkan kepada AFP bahawa roda pendaratan hadapan pesawat itu tiba-tiba ‘tersimpan’ sendiri secara tidak dijangka atau tidak terbuka ketika ia sedang berada di lapangan terbang.
Ketika kejadian, sebilangan kru kabin dan pekerja sudah berada di dalam pesawat.
Beberapa orang daripada mereka dilaporkan cedera dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Bagaimanapun, seorang lagi jurucakap Lufthansa mengesahkan pada sebelah malam Khamis bahawa semua mangsa yang cedera termasuk dua kru kabin syarikat itu hanya mengalami kecederaan ringan.
Susulan insiden itu, penerbangan ke Los Angeles terpaksa dibatalkan sepenuhnya.
Pihak Lufthansa menyatakan bahawa pasukan pakar sedang berada di lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas pesawat terbabit.
Pesawat itu dijangka dialihkan ke hangar bagi membolehkan siasatan lanjut dan kerja-kerja pembaikan dilakukan.
Menurut laporan laman web Aerotelegraph, pesawat komersial yang mengalami kerosakan itu baru sahaja berusia setahun dan diserahkan kepada pihak Lufthansa pada Januari lalu. – AFP










