Ketua Hizbullah tolak zon keselamatan Israel di Lubnan - Utusan Malaysia

Ketua Hizbullah tolak zon keselamatan Israel di Lubnan

NAIM QASSEM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Ketua Hizboulah, Naim Qassem menolak sebarang zon keselamatan Israel di Lubnan selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar tenteranya akan terus berada di selatan negara itu selama mana yang diperlukan.

Ucapan Qassem dibuat ketika Washington dan Teheran mengadakan rundingan di Switzerland selepas menandatangani perjanjian awal minggu ini bagi menamatkan perang yang lebih luas di Asia Barat, termasuk menghentikan permusuhan di Lubnan.

“Adalah mustahil untuk tentera Israel terus berada di bumi Lubnan. Tiada zon keselamatan untuk Israel. Kami mempunyai tentera kebangsaan yang ditempatkan di kawasan itu dan bertanggungjawab memelihara kedaulatan negara serta menjadi pihak yang kami mahu bekerjasama.

“Israel adalah penceroboh dan mesti berundur. Amerika Syarikat (AS) memikul tanggungjawab sepenuhnya. Israel tidak akan kekal di Lubnan, walaupun ia meningkatkan jenayahnya dan kami akan mempertahankan diri,” kata Qassem dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Tentera Israel yang menceroboh selatan Lubnan selepas perang tercetus pada 2 Mac kini beroperasi dalam apa yang dipanggil sebagai zon keselamatan kira-kira 12 kilometer ke dalam wilayah Lubnan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

“Kami akan kekal di zon keselamatan di selatan Lubnan selama mana yang diperlukan untuk melindungi penduduk di utara dan di Israel yang kami hargail. Tiada apa yang akan mengubah komitmen itu,” kata Netanyahu pada Ahad.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pula berkata, pasukan tenteranya mempunyai arahan tetap untuk bertindak terhadap sebarang ancaman yang ditemui di dalam Lubnan.

Serangan berterusan Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini mengancam usaha damai Iran-AS. Namun, pertempuran di Lubnan terhenti sejak petang Sabtu selepas Iran sekali lagi menutup Selat Hormuz yang strategik sebagai tindak balas terhadap serangan tentera rejim ke atas Lubnan.

“Sebarang gencatan senjata di bawah kerangka penamatan menyeluruh permusuhan. Kami telah pun komited terhadapnya jika ia berlaku, tetapi kami tidak akan menerima sebarang pelanggaran. Kami akan berdepan dengan sebarang pelanggaran dan menanganinya mengikut cara yang kami anggap sesuai,” kata Qassem.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa Lubnan supaya memanfaatkan laluan memorandum persefahaman (Mou) yang sedang diusahakan.

“Pergilah dan selesaikan keadaan anda dengan Iran. AS sedang menyelesaikan situasinya dengan Iran, semua negara Arab sedang menyelesaikan keadaan mereka dengan Iran. Mengapa anda masih berdiam diri?

“Lihatlah Iran yang hebat, menutup Selat Hormuz demi Lubnan. Itu adalah senjata di tangan anda, gunakan senjata itu,” katanya kepada pihak berkuasa Lubnan.

Di bawah tekanan AS, Lubnan pada April lalu memulakan rundingan langsung dengan Israel di Washington yang bertujuan menamatkan permusuhan dan memisahkan konflik Israel-Hizbullah daripada perang serantau yang lebih luas.

Hizbullah bagaimanapun menolak keras rundingan langsung tersebut, yang dijadual memasuki pusingan kelima minggu depan . – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN