Indonesia dapat bekalan minyak Afrika - Utusan Malaysia

Indonesia dapat bekalan minyak Afrika

KAPAL memaparkan logo syarikat minyak Pertamina berlabuh di sebuah pelabuhan berhampiran depot minyak di Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia mem­perluaskan bekalan mi­nyak mentah dari Afrika bagi mengurangkan risiko gangguan tenaga yang dikaitkan dengan ketegangan di sekitar Selat Hormuz.

Timbalan Menteri Luar Indonesia, Arif Havas Oegroseno berkata, Indonesia sedang mencari sumber bekalan minyak dari wilayah yang tidak bergantung kepada laluan perkapalan melalui selat tersebut.

Menurut beliau, Afrika menjadi sumber alternatif yang sesuai bagi minyak mentah Indonesia kerana penghantaran dari benua itu tidak melalui Selat Hormuz.

“Kami kini banyak be­kerjasama dengan Algeria, Nigeria, Angola dan banyak negara Afrika lain. Kami telah menerima banyak bekalan minyak dari Afrika. Setakat ini, keada­an kami baik,” kata Arif selepas menghadiri mesyuarat kerja bersama Suruhanjaya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta, Khamis.

Indonesia turut mene­roka peluang import mi­nyak dari Amerika Latin, di mana banyak negara di rantau itu memiliki sumber minyak dan gas.

“Kami sedang melihat banyak negara di sana yang mempunyai potensi minyak dan gas. Hampir semua negara di Amerika Latin mempunyai potensi sedemikian,” katanya.

Syarikat tenaga milik negara, Pertamina turut memaklumkan pihaknya terus berusaha memastikan bekalan bahan api dan gas petroleum cecair (LPG) mencukupi untuk kegunaan isi rumah serta sektor industri.

Langkah itu dibuat ketika ketegangan semakin mening­kat di Teluk Parsi susulan konflik serantau yang melibatkan Iran, Ame­rika Syarikat (AS) dan Israel.

Selat Hormuz, yang me­rupakan antara laluan perkapalan tenaga paling sibuk di dunia, mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) global. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN