TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) melancarkan gelombang baharu serangan terhadap Iran pada malam Rabu ketika usaha menamatkan perang yang telah berlarutan selama tiga bulan semakin menemui jalan buntu..
Markas Pusat AS (CENTCOM) berkata, pasukan Amerikamemulakan serangan pertahanan diri tambahan pada pukul 5,15 petang waktu Washington (awal pagi Khamis di Iran) terhadap beberapa sasaran di Iran sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan berterusan dan tidak berasas oleh Teheran.
Media Iran melaporkan letupan di beberapa kawasan selatan negara itu berhampiran Selat Hormuz, kawasan yang turut menjadi sasaran serangan AS pada Selasa terhadap sistem pertahanan udara, radar dan kemudahan lain. Sumber Iran melaporkan serangan baharu oleh peluru musuh di Qeshm, Kargan dan Sirik.
Presiden AS, Donald Trump, berkata ketika serangan sedang berlangsung, pemimpin Iran menghubunginya secara langsung di Bilik Situasi Rumah Putih dan meminta beliau menghentikan serangan itu, menurut laporan Fox News.
Namun, Pengawal Revolusi Iran segera menafikan bahawa Iran membuat permintaan sedemikian, lapor agensi berita IRNA.
Trump berkata, tentera AS telah melancarkan 49 peluru berpandu Tomahawk ke atas Iran dan beberapa sasaran terletak hanya kira-kira 60 kilometer)dari Teheran, menurut Fox News.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika Iran tidak menerima syarat-syarat AS untuk menamatkan perang yang telah berlarutan tiga bulan itu, pihaknya akan mengebom negara tersebut sekali lagi esok malam (Khamis), menurut wartawan Fox News, Trey Yingst, yang bercakap dengan presiden itu.
Hari kedua berturut-turut serangan AS itu berlaku selepas Trump mengadu bahawa perunding Iran mengambil masa terlalu lama dan mempermainkan Amerika. Awal minggu ini beliau pernah membayangkan bahawa perjanjian damai mungkin dapat dicapai dalam tempoh beberapa hari sahaja.
“Kami menghentam mereka dengan kuat semalam. Kami akan menghentam mereka lagi dengan kuat hari ini,” kata Trump kepada wartawan pada Rabu pagi.
“Kami sebenarnya hampir mencapai persetujuan, tetapi mereka terus melengah-lengahkan proses itu,” kata Trump.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, memberi bayangan bahawa serangan mungkin berlanjutan ke malam ketiga, sambil berkata ia akan menjadi tegas dan jelas.
Peningkatan konflik itu mencetuskan gesaan antarabangsa supaya semua pihak menahan diri menjelang kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh AS dan disertai oleh Iran.
Perang Asia Barat bermula pada 28 Februari lalu apabila AS dan Israel menyerang Teheran pada 28 Februari lalu. – AFP/AGENSI










