WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan baharu terhadap syarikat minyak milik kerajaan Cuba, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas sektor tenaga negara itu yang sedang bergelut dengan krisis bekalan.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam satu kenyataan berkata, beliau menamakan syarikat minyak dan gas Cuba, Union Cuba-Petroleo (CUPET), sebagai entiti yang dikenakan sekatan, dengan mendakwa sebahagian asetnya dirampas secara haram daripada pemilik Amerika beberapa tahun lalu.
Langkah itu menghalang syarikat dan individu yang mempunyai kaitan dengan AS daripada menjalankan sebarang urus niaga kewangan dengan CUPET. Sehingga kini, CUPET mengawal aktiviti pengeluaran minyak mentah, penapisan dan pengedaran di Cuba.
Kerajaan Cuba pada Rabu berkata, sekatan minyak oleh AS melumpuhkan negara itu dan menghalang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada mengagihkan 170 kontena bantuan kemanusiaan.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini memutuskan bekalan minyak ke Cuba dari Venezuela pada Januari selepas Washington menggulingkan Presiden Nicolas Maduro dalam satu operasi ketenteraan.
Trump dilaporkan berhasrat menamatkan lebih enam dekad pemerintahan komunis di Cuba serta mengugut negara lain dengan sekatan sekiranya membantu Havana.
Sejak Januari, hanya satu kapal tangki minyak, dari Russia, yang berjaya memasuki Cuba. – AFP










