WASHINGTON: Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan langkah drastik untuk menarik balik status kewarganegaraan daripada 17 individu di seluruh negara.
Ia menandakan tindakan terbaharu pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang belum pernah terjadi sebelum ini dalam menyasarkan golongan imigran yang telah mendapat kerakyatan.
Sejak Trump kembali menerajui Rumah Putih, pentadbirannya terus memperhebat kempen ‘penyahaslian’ dengan menyasarkan rakyat AS kelahiran asing yang dituduh memperoleh kewarganegaraan AS menerusi saluran penipuan.
Menurut pihak berkuasa, sebahagian daripada individu yang menjadi sasaran dalam operasi terbaharu itu berdepan pertuduhan melakukan penipuan dokumen serta terlibat dalam kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.
Proses ‘penyahaslian’ iaitu pembatalan status kewarganegaraan daripada rakyat AS yang mendapat kerakyatan merupakan satu tindakan yang amat jarang dilakukan sebelum ini, malah ia hanya boleh diputuskan melalui perintah Mahkamah Persekutuan.
Dari segi sejarah, AS pernah menarik balik status kewarganegaraan atas pelbagai faktor bermula daripada tindakan menipu mengenai tarikh ketibaan, pemalsuan umur, status perkahwinan sehinggalah atas faktor penglibatan politik.
Sebagai contoh, ketika era Perang Dunia Kedua, AS pernah menyemak semula kes-kes naturalisasi membabitkan rakyat AS keturunan Jerman yang dikesan cenderung menyokong ideologi pro-Nazi.
Ketika pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini, Jabatan Keadilan dilaporkan hanya memfailkan sebanyak 24 kes ‘penyahaslian ‘sepanjang tempoh mereka memegang kuasa.
Bagaimanapun, pentadbiran Trump telah pun mengatasi jumlah rekod berkenaan dalam tempoh tidak sampai setahun selepas mengambil alih kerajaan.
Malah pada Mei lalu, pentadbiran tersebut turut menggerakkan tindakan yang sama untuk melucutkan kewarganegaraan ke atas belasan individu lain.
“Memperoleh kewarganegaraan AS merupakan satu keistimewaan. Jabatan Keadilan mengekalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah guna proses in di bawah kepimpinan Trump,” tegas Pemangku Peguam Negara, Todd Blanche dalam satu kenyataan rasmi.
Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Markwayne Mullin turut memberi amaran bahawa pihak pentadbiran tidak akan teragak-agak untuk terus menggunakan setiap saluran undang-undang yang sah bagi membatalkan kerakyatan serta mengusir warga asing terbabit keluar dari AS. – CNN










