3 negara umum dana sokong tubuh negara Palestin - Utusan Malaysia

3 negara umum dana sokong tubuh negara Palestin

SEORANG budak duduk atas kerusi di tepi runtuhan bangunan di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United Kingdom (UK), Australia dan Kanada pada Khamis mengumumkan penubuhan Da­na Keamanan Antarabangsa yang baharu bagi menyokong usaha ke arah penyelesaian dua negara antara Palestin serta Israel, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga negara itu berkata, dana pelbagai pen­derma tersebut akan menyokong projek-projek yang bertujuan mewujudkan keadaan yang lebih baik bagi mencapai penyelesaian dua negara melalui rundingan.

Kerajaan ketiga-tiga negara itu berkata, inisiatif tersebut akan melengkapi usaha diplomatik, kemanusiaan dan pemba­ngunan yang sedang dijalankan.

Negara-negara itu menyokong organisasi yang berusaha mempromosikan pembinaan ke­amanan dan persefahaman bersama.

Ketiga-tiga negara itu menegaskan semula komitmen mereka terhadap penyelesaian dua negara melalui rundingan, dengan menyifatkan ia sebagai satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai keamanan berkekalan.

UK, Australia dan Kanada masing-masing akan menyumbang dana permulaan sebanyak £1 juta (RM5.4 juta) bagi tempoh tiga tahun. Dana tersebut juga akan dibuka kepada sumbangan daripada rakan kongsi antarabangsa lain.

Pada 21 September tahun lalu, Perdana Menteri UK, Keir Starmer mengumumkan bahawa negaranya  secara rasmi telah mengiktiraf negara Palestin.

Pada hari yang sama, Kanada, Australia dan Portugal turut mengisytiharkan pengiktirafan mereka terhadap negara Palestin.

Sementara itu keganasan  pene­roka haram  Yahudi  di Tebing Barat yang diduduki Israel mencapai tahap tertinggi, de­ngan purata enam serangan setiap hari yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan.

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu (PBB), Stephane Dujarric berkata, lebih 1,000 insiden direkodkan tahun ini, berdasarkan data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB.

“Minggu lepas sahaja, sera­ngan peneroka mengakibatkan kecederaan lebih  30 rakyat Palestin dan kerosakan meluas terhadap harta benda, infrastruktur utama dan sumber pendapatan,” katanya. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN