14 memorandum damai AS-Iran didedahkan - Utusan Malaysia

14 memorandum damai AS-Iran didedahkan

TRUMP menandatangani perjanjian persefahaman damai dengan Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON:  Pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu membacakan 14 perkara memorandum persefahaman (MoU) antara AS  dan Iran kepada wartawan melalui panggilan telefon, lapor CBS News. 

Namun, pegawai itu bercakap dengan syarat tidak dinamakan.

Presiden Donald Trump dan rakan sejawatnya dari  Iran, Masoud Pezeshkian menandatangani perjanjian itu yang bertujuan menamatkan perang di Asia Barat dengan Teheran bersetuju untuk mengurangkan tahap pengayaan uranium yang dimilikinya sebagai balasan kepada bantuan ekonomi berskala besar.

Trump menandatangani memorandum persefahaman itu semasa satu majlis makan malam diterangi cahaya lilin di Istana Versailles, Perancis selepas sidang kemuncak Kumpulan 7 (G7), sambil disaksikan dan diberikan tepukan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron serta tetamu lain, menurut rakaman video yang dimuat naik oleh seorang pembantu Trump.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, yang dipetik oleh agensi berita negara IRNA, berkata dokumen itu telah dimuktamadkan dengan tandatangan kedua-dua presiden.

Antara perkara utama perjanjian itu termasuk:

Kedua-dua pihak bersetuju untuk penamatan segera dan kekal operasi ketenteraan di semua medan, termasuk di Lubnan

  • Iran boleh mula mengeksport minyak sebaik sahaja MOU ditandatangani.
  • Iran akan membuat persiapan dengan usaha terbaik untuk memastikan laluan selamat kapal komersial tanpa caj selama 60 hari sahaja dari Selat Hormuz ke Laut Oman dan sebaliknya.
  • AS dan rakan serantau akan membangunkan pelan pembinaan semula untuk Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion (RM1.2 trilion)..
  • Iran mengesahkan bahawa ia tidak akan memperoleh atau membangunkan senjata nuklear.
  • Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan pengurusan bahan uranium yang telah diperkaya dan disimpan.
  • Sekatan AS  terhadap Iran akan ditarik balik mengikut jadual sebagai sebahagian daripada perjanjian akhir, tertakluk kepada pematuhan nuklear.
  • Terdapat tempoh 60 hari untuk menandatangani perjanjian akhir, yang boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama.

Perenggan-perenggan perjanjian di bawah ditranskrip itu adalah::

AS  dan Republik Islam Iran serta sekutu mereka dalam perang semasa, dengan menandatangani MOU ini, mengisytiharkan penamatan segera dan kekal operasi ketenteraan di semua medan, termasuk di Lubnan, berjanji untuk tidak memulakan perang atau operasi ketenteraan terhadap satu sama lain termasuk  tidak mengancam atau menggunakan kekerasan antara satu sama lain selain memastikan integriti wilayah serta kedaulatan Lubnan. 

Perjanjian akhir akan mengesahkan penamatan kekal perang di semua medan, termasuk di Lubnan dan peruntukan lain dalam perenggan ini.

AS dan Republik Islam Iran berjanji untuk menghormati kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman satu sama lain.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding dan mencapai perjanjian akhir dalam maksimum 60 hari, boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama.

Sejurus selepas MOU ditandatangani, AS akan mula menarik balik sekatan laut dan halangan terhadap Iran dan akan menamatkan sepenuhnya sekatan laut dalam tempoh 30 hari. Dalam tempoh ini, trafik kapal akan dipulihkan secara berperingkat kepada tahap sebelum perang. 

AS  juga akan menarik balik tenteranya dari sekitar Iran dalam tempoh 30 hari selepas perjanjian akhir.

Selepas MOU ditandatangani, Iran akan memastikan laluan selamat kapal komersial tanpa caj selama 60 hari dari Teluk Parsi ke Laut Oman dan sebaliknya. Trafik kapal komersial akan bermula serta-merta dan selepas menghapuskan halangan teknikal dan ketenteraan serta kerja pembersihan periuk api oleh Iran, ia akan dilaksanakan dalam tempoh 30 hari. Iran akan berunding dengan Kesultanan Oman untuk menentukan pentadbiran masa depan dan perkhidmatan maritim di Selat Hormuz selaras dengan undang-undang antarabangsa.

AS bersama rakan serantau akan membangunkan pelan pembinaan semula dan pembangunan ekonomi Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion. Mekanisme pelaksanaan akan dimuktamadkan dalam 60 hari. Semua lesen dan kebenaran kewangan akan dikeluarkan oleh AS.

AS akan menamatkan semua sekatan terhadap Iran termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), resolusi Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa. (IAEA) dan semua sekatan unilateral.

Iran menegaskan ia tidak akan membangunkan senjata nuklear. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan pengurusan stok bahan uranium diperkaya di bawah mekanisme yang dipersetujui bersama dengan pengawasan IAEA. Perbincangan lanjut akan dibuat mengenai keperluan nuklear Iran.

Sementara menunggu perjanjian akhir, kedua-dua pihak bersetuju mengekalkan status quo: iaitu Iran mengekalkan program nuklear sedia ada, dan AS tidak akan mengenakan sekatan baharu atau menambah pasukan di rantau itu.

AS akan mengeluarkan lesen bagi eksport minyak mentah Iran dan transaksi berkaitan sebaik MOU ditandatangani.

Amerika akan membolehkan penggunaan sepenuhnya dana dan aset Iran yang dibekukan, dengan mekanisme akan dipersetujui dalam rundingan lanjut.

Satu mekanisme eksekutif akan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan MOU dan pematuhan perjanjian akhir.

Selepas penandatanganan MOU dan tertakluk kepada pelaksanaan beberapa peruntukan tertentu, kedua-dua pihak akan memulakan rundingan mengenai perjanjian akhir.

Perjanjian akhir akan disahkan melalui resolusi mengikat Majlis Keselamatan PBB.  – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN