Taiwan respons operasi China - Utusan Malaysia

Taiwan respons operasi China

SEBUAH kapal China belayar dekat Taiwan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Pengawal Pantai Taiwan memaklumkan pihaknya menge­rahkan lebih lima kapal sebagai respons sewajarnya terhadap operasi China di perairan timur pulau itu yang menurutnya me­langgar undang-undang antarabangsa.

Ia berlaku selepas media rasmi China melaporkan pada Sabtu operasi penguatkuasaan undang-undang itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap rundingan antara Jepun dan Filipina bagi melakar sempadan di perairan berkenaan.

China yang menyatakan Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya, menyifatkan run­dingan itu sebagai ‘haram’ dan mendakwa mempunyai kawalan eksklusif ke atas perairan terbabit.

“Kapal-kapal China itu dipantau sepanjang keseluruhan operasi dan Taiwan sudah mengerahkan kapal yang diperlukan untuk memberi respons sewajarnya,” kata Pengawal Pantai Taiwan dalam satu kenyataan.

Taiwan berkata, pihaknya mengesan empat kapal kerajaan China berlepas dari pelabuhan Xiamen sebelum belayar di luar kawasan perairan larangan Taiwan di barat daya pulau itu.
Pengawal pantai Taiwan kemudian mengerahkan lebih lima kapal bagi membantu operasi pemantauan.

Menurut kenyataan itu, kapal China tiba di perairan berkaitan pada Ahad sambil menyatakan Beijing tidak mempunyai sebarang hak kedaulatan di perairan timur Taiwan.

Tokyo dan Manila bulan lalu berkata, mereka akan memulakan rundingan rasmi bagi menetapkan sempadan maritim melibatkan zon ekonomi dan pelantar benua antara kedua-dua negara serta mencetuskan kemarahan Beijing.

Pada Sabtu, Kementerian Peng­angkutan China mengarahkan polis maritim dari wilayah pesisir Fujian dan Guangdong untuk menjalankan operasi khas penguatkuasaan undang-undang trafik maritim di perairan timur Pulau Taiwan.

Laporan itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai operasi tersebut termasuk tempohnya atau sama ada ia masih berlangsung, selain tidak menyatakan sama ada polis maritim menghantar kapal ke kawasan berkenaan.

Agensi berita Xinhua berkata, operasi itu merupakan ‘tindakan perlu’ susulan pengumuman unilateral Jepun dan Filipina untuk memulakan rundingan menetapkan sempadan maritim berhampiran Taiwan.

Pertikaian bersama Manila dan Tokyo terhadap tuntutan wilayah maritim China menyebabkan kedua-dua negara semakin rapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jepun dan China terlibat dalam pertikaian wilayah dan ekonomi di Laut China Timur, dengan kapal pengawal pantai kedua-dua negara sering berdepan situasi tegang di kawasan berkenaan.

Beijing turut mengerahkan kapal tentera laut dan pengawal pantai di Laut China Selatan bagi menghalang Filipina daripada mengakses terumbu karang dan pulau strategik, sehingga mencetuskan beberapa siri konfrontasi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN