BEIRUT: Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan lebih 3,000 orang terbunuh di negara itu sejak bermulanya konflik antara Hizbollah dan Israel pada 2 Mac lalu, ketika ketegangan rentas sempadan terus meningkat walaupun gencatan senjata dilanjutkan.
Menurut kementerian itu, jumlah korban akibat serangan Israel dari 2 Mac hingga 18 Mei kini mencecah 3,020 orang, manakala 9,273 lagi cedera. Jumlah tersebut termasuk 211 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun serta 116 petugas kesihatan.
Kementerian berkata, Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata dicapai pada 17 April melalui serangan berterusan ke atas perkampungan di selatan Lubnan, arahan pemindahan paksa berulang dan pencerobohan darat serta kerja-kerja perobohan yang berterusan.
Ia turut memberi amaran sekurang-kurangnya 115 petugas perubatan terbunuh sejak bermulanya pencerobohan Israel di Lubnan.
Sejak awal konflik itu, petugas perubatan, paramedik, pasukan penyelamat termasuk hospital di Lubnan berdepan serangan maut berulang, yang disifatkan sebagai sasaran sistematik terhadap sektor kesihatan negara berkenaan.
Sementara itu, Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Isnin menyatakan kesediaannya untuk ‘melakukan apa sahaja’ bagi menghentikan perang dengan Israel.
“Rangka kerja ditetapkan Lubnan untuk rundingan ini terdiri daripada pengunduran Israel, gencatan senjata, penempatan tentera di sepanjang sempadan, kepulangan penduduk yang dipindahkan dan bantuan ekonomi.
“Tugas saya, berdasarkan jawatan dan tanggungjawab, adalah untuk melakukan apa sahaja yang mungkin dan memilih pilihan paling kurang kos, bagi menghentikan perang terhadap Lubnan serta rakyatnya,” kata Aoun dalam kenyataan kelmarin.
Amerika Syarikat (AS) didakwa memberi ‘kebenaran senyap-senyap’ kepada Israel untuk meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan di bawah nama ‘gencatan senjata aktif’, menurut akhbar Israel Hayom.
Akhbar itu mendakwa, di sebalik pengumuman gencatan senjata, terdapat dasar de facto yang memberi Israel kebebasan meneruskan operasi penuh di Lubnan dan menyifatkan hanya pihak merangka perjanjian itu, termasuk Rumah Putih serta kerajaan Lubnan, terus mempertahankan naratif tersebut.- AGENSI/AFP










