Israel hantar aktivis flotila Gaza yang ditahan ke Greece

Israel hantar aktivis flotila Gaza yang ditahan ke Greece

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Israel berkata, puluhan aktivis flotila bantuan menuju Gaza yang ditahan tenteranya di perairan antarabangsa berhampiran Crete akan dihantar ke Greece.

Kementerian luar Israel sebelum itu memaklumkan kira-kira 175 aktivis telah ditahan daripada lebih 20 bot.

Flotila itu merupakan usaha terbaharu aktivis pro-Palestin untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, dengan penganjur menyatakan jumlah yang ditahan seramai 211 orang termasuk seorang ahli majlis bandar Paris.

“Dengan penyelarasan bersama kerajaan Greece, individu yang dipindahkan dari kapal flotila ke kapal Israel akan diturunkan di pantai Greece dalam beberapa jam akan datang,” kata Menteri Luar Israel, Gideon Saar di platform X, sambil mengucapkan terima kasih kepada Greece atas kesediaannya menerima peserta flotila.

Jurucakap Global Sumud France, Helene Coron sebelum itu berkata, operasi pemintasan berlaku berhampiran pulau Crete pada jarak yang belum pernah berlaku sebelum ini dari pantai Gaza.

Seorang aktivis di atas flotila, Yasmine Scola mendakwa rakan-rakannya ‘diculik’ oleh Israel.

Paris mengumumkan 15 rakyat Perancis ditahan, manakala Rome menggesa pembebasan segera semua warga Itali yang ditahan secara tidak sah berjumlah 24 orang menurut agensi berita Ansa.

Coron berkata, antara yang ditahan termasuk ahli majlis Parti Komunis Paris, Raphaelle Primet.

Rome dan Berlin dalam kenyataan bersama berkata, mereka mengikuti perkembangan itu dengan kebimbangan, manakala Madrid mengecam tindakan tersebut dan memanggil wakil Israel di Sepanyol.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menuduh Israel sekali lagi melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyerang flotila awam di perairan yang ‘bukan miliknya’, sambil menggesa Kesatuan Eropah (EU) membekukan hubungan dua hala.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan operasi tersebut sebagai kejayaan sepenuhnya dan melabel peserta sebagai ‘penyokong Hamas’.

Pada musim panas dan luruh 2025, pelayaran pertama Global Sumud Flotilla merentasi Mediterranean menuju Gaza menarik perhatian dunia.

Bot-bot dalam flotila itu dipintas Israel di luar pantai Mesir dan Gaza pada awal Oktober.

Anak kapal termasuk aktivis Sweden, Greta Thunberg ditahan sebelum diusir oleh Israel.

Penganjur flotila terbaharu itu memaklumkan awal Khamis, bot mereka telah dikepung kapal tentera Israel di luar pantai Crete.

“Kapal kami didekati bot laju tentera yang mengenal pasti diri sebagai ‘Israel’, menghalakan laser dan senjata separa automatik serta mengarahkan peserta ke hadapan bot dan berlutut,” kata Global Sumud Flotilla.

AFP mengesahkan berdasarkan data penjejakan, bot-bot tersebut dipintas dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Greece.

Kira-kira 30 bot flotila masih dalam perjalanan, kebanyakannya kini berada di perairan wilayah Greece di selatan Crete.

Coron berkata, operasi itu berlaku lebih 1,000 kilometer dari Semenanjung Gaza, jauh lebih besar berbanding operasi terdahulu sejauh 185 kilometer pada Jun 2025.

Kementerian luar Israel berkata kondom dan dadah ditemui di atas bot serta menyiarkan video aktivis berseronok di atas kapal Israel.

Namun, Scola berkata, kapalnya membawa bekalan sekolah dan makanan.

Flotila yang terdiri daripada lebih 50 kapal itu berlepas dalam beberapa minggu kebelakangan ini dari Marseille di Perancis, Barcelona di Sepanyol dan Syracuse di Itali.

Jurucakap kementerian luar Israel, Oren Marmorstein berkata, tindakan awal diambil kerana jumlah kapal yang besar, risiko peningkatan ketegangan dan keperluan menghalang pelanggaran sekatan yang sah mengikut undang-undang antarabangsa.

Namun, Amnesty International mengecam tindakan itu sebagai ‘pemintasan yang keterlaluan’.

“Angkatan laut Israel merentasi ratusan batu di laut semata-mata untuk memastikan bot awam yang membawa makanan, susu bayi dan bekalan perubatan tidak sampai kepada rakyat Palestin menunjukkan sejauh mana Israel sanggup bertindak untuk mengekalkan sekatan kejam dan tidak sah selama 19 tahun ke atas Gaza,” kata wakil Amnesty International, Erika Guevara Rosas dalam satu kenyataan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN