Pantai Australia ditutup selepas jerung makan bangkai paus

Pantai Australia ditutup selepas jerung makan bangkai paus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Sekumpulan jerung putih besar dan jerung lembu sedang memakan bangkai paus yang terdampar di beberapa pantai di selatan Sydney, memaksa penutupan lokasi berkenaan oleh pihak berkuasa hidupan liar dan penyelamat Australia pada Ahad.

Bangkai paus sperma sepanjang lapan meter dengan berat sekitar 25 tan dilaporkan ditemui pada Sabtu terdampar di atas batu-batu di Pantai Era, dalam Taman Negara Royal yang terletak di kawasan pesisir, sekali gus menyebabkan penutupan pantai serta-merta.

“Terdapat jerung putih besar dan juga jerung lembu yang dikesan di kawasan itu. Walaupun ia mungkin kelihatan dramatik dan menakutkan bagi orang ramai, ini sebenarnya kejadian semula jadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bangkai paus itu sedang dikembalikan ke dalam rantaian makanan oleh jerung. Saya tidak akan berenang di situ, tetapi ia satu proses yang sangat menarik,” kata Pengurus Kawasan Perkhidmatan Taman Negara dan Hidupan Liar New South Wales, Brendon Neilly kepada AFP.

Menurut Neilly, pihak berkuasa hidupan liar sedang merancang cara untuk menguruskan bangkai paus tersebut, namun ia dijangka tidak dapat dilakukan sebelum Selasa.

Agensi Surf Life Saving NSW mengeluarkan amaran semua pantai dalam Taman Negara Royal termasuk Era, Garie, Burning Palms dan Wattamolla kini ditutup kerana aktiviti jerung yang meningkat.

“Kami tidak boleh menghalang orang ramai daripada masuk ke dalam air, tetapi dengan jumlah jerung yang dilaporkan, termasuk jerung putih besar dan jerung lembu, ia bukan jenis ikan yang anda mahu berenang bersama,” kata Ketua Eksekutif Surf Life Saving NSW, Stephen Pearce kepada ABC.

Sejak tahun 1791, hampir 1,300 insiden jerung direkodkan di Australia, dengan lebih 260 daripadanya membawa maut, menurut pangkalan data insiden haiwan pemangsa itu.

Kes kematian terbaharu berlaku pada Januari apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas diserang jerung di Pelabuhan Sydney.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini