TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin mengarahkan Kabinetnya untuk membuka rundingan terus dengan Lubnan bagi melucutkan senjata Hizbollah dan mewujudkan ‘hubungan aman’ antara kedua-dua negara.
Media Israel melaporkan, Duta Israel ke Amerika Syarikat (AS), Yechiel Leiter akan mewakili negara itu dalam rundingan tersebut. Ia akan diadakan tanpa rejim Zionis menghentikan serangannya di Lubnan.
“Berdasarkan permintaan berulang Lubnan, saya mengarahkan Kabinet untuk memulakan rundingan terus dengan Lubnan secepat mungkin.
“Rundingan akan memberi tumpuan kepada pelucutan senjata Hizbollah dan mewujudkan hubungan aman. Israel menghargai panggilan daripada Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam untuk menghapuskan pengaruh ketenteraan Beirut,” kata kenyataan itu.
Seorang pegawai kerajaan Lubnan yang mengetahui perkara itu memberitahu AFP bahawa negara itu hanya boleh menyertai rundingan selepas gencatan senjata diumumkan.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Israel melancarkan gelombang serangan terbesar ke atas Lubnan yang mengorbankan lebih 300 orang menurut pihak berkuasa. Angka itu meningkatkan jumlah keseluruhan kematian sejak bermulanya perang antara Israel dan Hizbollah kepada 1,888 orang dengan 6,092 lagi cedera.
Kenyataan Netanyahu juga menyusuli perbualan telefon pada Rabu dengan Presiden AS, Donald Trump dan Utusan Rumah Putih, Steve Witkoff, menurut penerbitan AS Axios. Pegawai kanan AS berkata, Witkoff meminta Netanyahu untuk meredakan serangan di Lubnan dan membuka rundingan.
Axios memetik seorang pegawai kanan Israel berkata, rundingan terus itu akan bermula minggu depan di Washington dan disahkan pegawai AS.
Netanyahu turut menyatakan bahawa tiada gencatan senjata akan dilakukan walaupun beliau meminta rundingan itu diadakan.
Ahli Parlimen Hizbollah, Ali Fayyad bagaimanapun menegaskan kumpulan itu menolak keras sebarang rundingan langsung antara Lubnan dan Israel.
“Kami mengulangi penolakan kami terhadap sebarang rundingan langsung antara Lubnan dan pihak musuh Israel, selain keperluan untuk menegakkan prinsip nasional, khususnya pengunduran Israel, menghentikan permusuhan serta kepulangan penduduk ke kampung dan bandar mereka,” katanya.
“Kami menggesa kerajaan Lubnan untuk mematuhi gencatan senjata sebagai prasyarat sebelum meneruskan sebarang langkah lanjut,” katanya.
Tentera Lubnan yang tidak terlibat dalam perang itu sudah kehilangan 14 anggotanya, akibat serangan Israel, dua daripadanya ketika bertugas. Direktorat Keselamatan Am Lubnan turut mengumumkan kematian seorang anggotanya dalam serangan tersebut.
Sebagai tanda keganasan mungkin berterusan, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu untuk di pinggir selatan Beirut dan mendakwa sedang menyerang sasaran pelancar Hizbollah di Lubnan.
Keengganan Israel untuk menghentikan operasi di Lubnan membayangi rundingan damai di Pakistan. Pegawai Iran berkata, serangan Israel menjadikan rundingan di Pakistan ‘tidak bermakna’ dan Lubnan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada gencatan senjata. – AGENSI










