KATHMANDU: Menteri Dalam Negeri Nepal meletakkan jawatan pada Rabu akibat kritikan yang semakin meningkat terhadap kewangannya, menjadi anggota kedua Kabinet yang meninggalkan kerajaan baharu hanya beberapa minggu selepas dibentuk.
Sudan Gurung, tokoh utama dalam protes Generasi Z (Gen-Z) pada September tahun lalu yang menjatuhkan kerajaan Nepal sebelumnya berkata, beliau berundur bagi memastikan siasatan yang adi.
“Bagi saya, moral lebih penting daripada jawatan dan tiada kuasa yang lebih besar daripada kepercayaan awam. Kehidupan awam perlu bersih, kepimpinan perlu bertanggungjawab,” kata Gurung yang berusia 38 tahun, yang memegang jawatan pada 27 Mac.
Beliau berdepan dakwaan berkaitan pelaburan kewangan dan aset, serta hubungan dengan seorang ahli perniagaan yang sedang disiasat kerana pengubahan wang haram.
Gurung merupakan menteri kedua yang meninggalkan kerajaan baharu selepas Menteri Buruh, Deepak Kumar Sah dipecat berhubung dakwaan salah laku kerana melantik isterinya ke lembaga insurans kesihatan.
Beliau mengambil bahagian dalam protes berdarah bermula sebagai bantahan terhadap larangan media sosial yang singkat, tetapi berkembang akibat ketidakpuasan terhadap rasuah dan ekonomi yang lemah.
Sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh dan lebih 2,500 cedera dalam tempoh dua hari keganasan pada September tahun lalu.
Pada Januari, Gurung menyertai Parti Rastriya Swatantra (RSP) dan memenangi kerusi parlimen selepas parti itu mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya Mac.
Gurung menjadi perhatian sehari selepas mengangkat sumpah jawatan apabila kerajaan menangkap bekas perdana menteri KP Sharma Oli. Kerajaan juga menangkap bekas menteri dalam negeri, Ramesh Lekhak atas dakwaan penglibatan dalam tindakan keras ke atas penunjuk perasaan pada September.
Namun, tidak lama selepas itu beliau sendiri berdepan dakwaan berkaitan pelaburan kewangan dan aset, serta hubungan dengan seorang ahli perniagaan yang sedang disiasat kerana pengubahan wang haram. – AFP










