Lagi askar pengaman Indonesia meninggal dunia di Lubnan

Lagi askar pengaman Indonesia meninggal dunia di Lubnan

GAMBAR fail kenderaan berperisai UNIFIL di Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Pasukan interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, UNIFIL, pada Jumaat mengumumkan bahawa seorang anggota pengaman Indonesia meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialaminya dalam serangan pada 29 Mac.

“UNIFIL berdukacita atas pemergian Koperal Rico Pramudia hari ini, yang cedera parah akibat letupan peluru di pangkalannya di Adchit Al Qusayr pada malam 29 Mac,” menurut kenyataan pasukan itu.

Kematian beliau menjadikan jumlah anggota pengaman yang terbunuh meningkat kepada enam orang sejak bermulanya perang terbaru antara Israel dan Hizbollah pada 2 Mac.

Gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak 17 April.

UNIFIL sebelum ini menyatakan bahawa dalam serangan pada 29 Mac, seorang anggota tentera Indonesia terbunuh manakala seorang lagi cedera.

Siasatan awal oleh PBB mendapati anggota tersebut terbunuh akibat tembakan peluru kereta kebal Israel.

Pada keesokan harinya, dua lagi anggota pengaman Indonesia terbunuh akibat alat letupan buatan sendiri (IED).

Siasatan yang sama oleh PBB mendapati Hizbollah berkemungkinan bertanggungjawab.

Indonesia sebelum ini telah menggesa PBB melancarkan siasatan menyeluruh terhadap kedua-dua insiden tersebut.

Dua anggota tentera Perancis yang berkhidmat dalam UNIFIL turut terbunuh dalam satu serangan hendap pada 18 April, yang menurut pihak berkuasa Perancis dan PBB dilakukan oleh Hizbollah.

Namun, kumpulan itu menafikan sebarang penglibatan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN