SINGAPURA: Sebuah insiden melucukan melibatkan dua buah kerusi roda berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang saling ‘bertelagah’ di Lapangan Terbang Changi, Singapura.
Satu rakaman video kemudian menjadi tular selepas kedua-duanya tersangkut dan enggan memberi laluan antara satu sama lain.
Menerusi satu video yang dirakam oleh seorang penumpang, kedua-dua kerusi roda automatik itu dilihat saling menghalang laluan masing-masing.
Ia menyebabkan kedua-duanya tidak dapat bergerak.
Difahamkan, sistem teknologi peranti tersebut gagal mengenal pasti bahawa objek yang menghalangnya bukan manusia, sebaliknya ‘rakan sejenisnya’.
Dalam rakaman yang dikongsikan oleh Rishi Budhrani itu, salah sebuah kerusi roda tersebut berulang kali mengeluarkan arahan suara.
“Excuse me, please step aside” menurut suara sistem audio yang biasanya digunakan untuk meminta orang awam memberi laluan.
“Saya rasa robot-robot ini ada masalah,” kata individu yang merakam video tersebut.
Individu itu turut menambah: “Inilah masalahnya dengan AI apabila tiada campur tangan manusia. Saya pun tidak boleh membantu kerana mereka seolah-olah tidak mahu dibantu.”
Selepas beberapa ketika dalam keadaan tegang dengan lampu yang berkelip-kelip, salah sebuah kerusi roda tersebut akhirnya beralah dan memberi laluan kepada yang lain dan menyelesaikan konflik itu tanpa bantuan luar.
Netizen turut terhibur dengan insiden tersebut, malah ada yang membandingkan situasi itu dengan aksi pergaduhan jalanan.
Ada juga yang mengaitkan situasi tersebut dengan isu geopolitik semasa.
“Apa yang anda lihat ini adalah sekatan dalam sekatan,” tulis seorang lagi pengguna yang membandingkan tindakan kerusi roda itu dengan krisis di Selat Hormuz. – AGENSI










