WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Khamis bahawa Washington dan Teheran sangat hampir mencapai perjanjian damai selepas perang meletus pada 28 Februari lalu.
Trump turut menyatakan bahawa Iran telah bersetuju untuk menyerahkan uranium diperkaya mereka, satu isu utama yang menjadi kebuntuan dalam rundingan.
Washington sebelum ini mengancam untuk menyambung semula serangan udara terhadap republik Islam itu dan mengekalkan sekatan laut ke atas pelabuhannya jika Teheran enggan menerima perjanjian bagi menyelesaikan perang tersebut.
Pada Khamis, ketua tentera Pakistan, Asim Munir bertemu dengan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf yang mengetuai delegasi Iran dalam pusingan pertama rundingan minggu lalu yang berakhir tanpa perjanjian di Islamabad.
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemudian berkata, Teheran berhati-hati mengenai rundingan damai dengan AS dan menyatakan harapan untuk mencapai hasil yang bermakna.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata pada Khamis bahawa jika Iran membuat pilihan yang salah, mereka akan berdepan sekatan dan pengeboman ke atas infrastruktur, tenaga serta bekalan kuasa.
Trump kemudian memberitahu wartawan bahawa terdapat peluang yang sangat baik untuk AS mencapai perjanjian dengan Teheran.
“Mereka telah bersetuju untuk menyerahkan ‘habuk nuklear’ itu kepada kita,” katanya, merujuk kepada stok uranium diperkaya yang menurut Washington boleh digunakan untuk membina senjata nuklear.
Trump tidak memberikan butiran mengenai sebarang pemindahan itu dan Iran juga tidak memberi sebarang petunjuk secara terbuka bahawa ia akan menyerahkan stok tersebut.
Trump menyatakan bahawa sebarang perjanjian dengan Iran mesti menghalangnya secara kekal daripada memperoleh senjata nuklear.
Beliau melancarkan perang dengan mendakwa Teheran sedang tergesa-gesa menyiapkan bom atom, satu dakwaan yang tidak disokong oleh badan pemantau nuklear Pertubuhan PBB.
Washington dilaporkan mahu penggantungan selama 20 tahun terhadap program pengayaan uranium Iran, manakala Teheran mencadangkan penggantungan aktiviti nuklear selama lima tahun, tawaran yang ditolak oleh pegawai AS.
Teheran menyatakan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman.
Iran pada Rabu menyatakan bahawa haknya untuk memperkaya uranium adalah tidak boleh dipertikaikan, walaupun tahap pengayaan itu boleh dirunding. – AFP










