WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu berkata, Iran cuba memberi tekanan kepada negaranya dengan mengancam untuk menutup semula Selat Hormuz tetapi menyatakan bahawa Washington tidak akan diperas ugut ketika rundingan antara kedua-dua pihak masih diteruskan.
Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih, Washington, Trump berkata: “Iran cuba berhelah sediki, mereka mahu menutup semula selat itu, mereka tidak boleh memeras ugut kami.”
Trump, ketika bercakap kepada wartawan menuduh Iran bermain helah dengan tindakan terbarunya dan memberi amaran agar Teheran tidak cuba memeras ugut Washington dengan perubahan pendiriannya mengenai Selat Hormuz.
Beliau berkata, Amerika masih terlibat dalam rundingan dengan Iran dan memberi bayangan bahawa keputusan sama ada kedua-dua pihak akan meneruskan perjanjian mungkin diketahui kemudian.
Kenyataannya dibuat ketika usaha diplomatik dipergiat semula untuk menamatkan konflik yang sedang berlangsung dengan Trump sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa satu perjanjian boleh dicapai dalam masa terdekat.
Pada Jumaat, Teheran telah mengumumkan bahawa Selat Hormuz, yang biasanya membawa kira-kira satu perlima daripada minyak dunia dan gas asli cecair, dibuka selepas gencatan senjata dipersetujui dalam perang Israel dengan sekutu Iran, Hizbollah di Lubnan.
Perkembangan itu mencetuskan kegembiraan di pasaran global dan menyebabkan harga minyak menjunam, namun dengan Trump menyatakan bahawa sekatan ke atas pelabuhan Iran akan diteruskan sehingga satu perjanjian dicapai untuk menamatkan perang, Teheran berkata, ia akan menutup semula selat tersebut.
Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting bagi hampir 20 peratus bekalan minyak global, telah menjadi pusat ketegangan antara Washington dan Teheran.
Perkembangan terkini menunjukkan isyarat yang bercampur-campur, dengan kedua-dua pihak pada masa tertentu mengumumkan selat itu dibuka, namun pada masa yang sama mengenakan sekatan atau mengekalkan tekanan ketenteraan.
Iran sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan berterusan Amerika termasuk sekatan lautnya, boleh menjejaskan akses ke laluan perairan tersebut, sehingga mencetuskan kebimbangan tentang gangguan lanjut terhadap pasaran tenaga global.
Gencatan senjata selama dua minggu dijadualkan berakhir pada Rabu kecuali ia diperbaharui selepas rundingan antara Iran dengan AS diadakan di Pakistan untuk menamatkan perang yang berlangsung pada 28 Februari lalu.
Konflik itu cepat merebak ke seluruh rantau, dengan Iran menyasarkan negara-negara Teluk yang berjiran dan Hizbollah menarik Lubnan ke dalam konflik dengan melancarkan roket ke arah Israel. – AFP/AGENSI










