WASHINGTON: Gelombang maklumat palsu meledak di platform dalam talian selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terselamat dalam satu insiden tembakan hujung minggu lalu sehingga mencetuskan semula dakwaan tidak berasas bahawa beliau sengaja merancang cubaan pembunuhan demi kepentingan politik.
Trump dan pegawai-pegawai kanan pentadbirannya terpaksa dipindahkan pada Sabtu lalu semasa satu majlis media di Washington selepas tembakan dilepaskan di luar dewan berkenaan. Ia merupakan cubaan pembunuhan ketiga yang menyasarkan pemimpin Republikan itu dalam tempoh dua tahun.
Pasukan penyemak fakta AFP mengenal pasti siri hantaran di media sosial daripada akaun anti-Trump yang menyebarkan teori tanpa bukti bahawa pihak Rumah Putih merancang tembakan itu bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu negatif, termasuk perang antara AS-Israel dengan Iran.
Menurut badan pemerhati maklumat palsu, NewsGuard, hantaran yang membawa dakwaan tersebut telah meraih 80 juta tontonan di platform X milik bilionair Elon Musk dalam tempoh hanya dua hari selepas kejadian.
Kebanyakan akaun yang sama sebelum ini pernah mendakwa dua cubaan pembunuhan terhadap Trump pada 2024 di Pennsylvania dan Florida adalah juga merupakan satu lakonan. Naratif ini sebahagian besarnya berpunca daripada gerakan konspirasi sayap kiri yang digelar penyelidik sebagai BlueAnon.
“Beberapa hantaran tular yang kami lihat secara jelas memetik insiden-insiden terdahulu sebagai ‘bukti’ bahawa merancang insiden tembakan adalah sebahagian daripada strategi Trump untuk meraih simpati dan mengalihkan liputan berita yang tidak memihak kepadanya,” kata Sofia Rubinson dari NewsGuard kepada AFP.
Setakat ini, tiada sebarang bukti yang menunjukkan pentadbiran Trump mendalangi serangan tersebut.
Pihak Rumah Putih pada Isnin menyalahkan ajaran kebencian sayap kiri susulan serangan itu. Suspek yang dikenal pasti sebagai Cole Allen, 31, kini berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan cuba membunuh Trump.
Dalam pada itu, media kerajaan di negara seteru AS seperti Russia dan Iran dilaporkan turut menyemarakkan lagi teori konspirasi tersebut, termasuk dakwaan bahawa penyerang mempunyai kaitan dengan tentera Israel. – AFP










