WASHINGTON/TEHERAN: Pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) sedang membangunkan pelan baharu untuk menyasarkan keupayaan Iran di Selat Hormuz jika gencatan senjata semasa dengan Teheran gagal, menurut beberapa sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Antara pilihan yang sedang dipertimbangkan termasuk serangan dengan fokus kepada penyasaran dinamik terhadap keupayaan Iran di sekitar Selat Hormuz, selatan Teluk Arab dan Teluk Oman.
Sumber berkata, serangan itu menjadikan bot serangan pantas kecil, kapal penabur periuk api dan aset asimetrik lain Iran sebagai sasaran. Kesemua aset Teheran itu ketika ini menjadi tekanan kepada AS.
TUTUP
Penutupan laluan tersebut telah memberi kesan besar kepada ekonomi global, sehingga berpotensi menggagalkan usaha Presiden Donald Trump untuk mengurangkan inflasi di AS walaupun gencatan senjata yang bermula pada 7 April telah menghentikan sementara serangan Amerika.
Selat Hormuz itu telah ditutup oleh Iran sejak bermulanya perang antara AS-Israel dengan Teheran pada 28 Februari lalu. Iran telah berikrar bahawa ia akan mengekalkan penutupan laluan strategik selat tersebut kepada semua kapal.
Namun, beberapa kapal dibenarkan belayar dan selat itu akan dibuka semula, jika AS tidak mengenakan sekatan ke atas pelabuhan Iran.
Dalam nada yang berbeza, Trump berkata bahawa AS mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz dan hanya akan membukanya semula apabila Iran bersetuju dengan perjanjian damai.
Trump pada Khamis berikrar bahawa AS akan memusnahkan mana-mana kapal yang meletakkan periuk api di selat itu, ketika beliau meningkatkan tekanan terhadap Iran supaya membuka semula laluan laut penting tersebut.
“Saya telah mengarahkan Tentera Laut Amerika untuk menembak mana-mana bot, walaupun bot kecil sekalipun yang meletakkan periuk api di perairan Selat Hormuz,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social miliknya.
Rundingan damai di Islamabad, Pakistan pula masih menemui jalan buntu, dengan Iran belum mengesahkan penyertaannya, sehingga meningkatkan ketidaktentuan dan memberi kesan negatif kepada ekonomi dunia.
SERANGAN
Walaupun tentera AS telah menyasarkan tentera laut Iran, sebahagian besar serangan udara pada bulan pertama lebih tertumpu kepada sasaran jauh dari Selat Hormuz bagi membolehkan serangan dilakukan lebih jauh ke dalam wilayah negara tersebut.
Pelan baharu kini mencadangkan kempen pengeboman yang lebih tertumpu di sekitar laluan laut strategik tersebut.
Sebelum ini, CNN melaporkan bahawa sebahagian besar peluru berpandu pertahanan pantai Iran masih utuh. Iran juga mempunyai banyak bot kecil yang boleh digunakan untuk melancarkan serangan ke atas kapal, sehingga menyukarkan usaha AS untuk membuka semula selat itu.
Beberapa sumber, termasuk broker perkapalan kanan berkata, serangan ketenteraan sahaja tidak mungkin dapat membuka semula laluan tersebut dengan segera.
“Melainkan anda boleh membuktikan sepenuhnya bahawa 100 peratus keupayaan tentera Iran telah dimusnahkan atau hampir pasti risiko dapat dikawal, ia bergantung kepada sejauh mana Trump sanggup mengambil risiko untuk mula menghantar kapal melalui selat itu,” kata satu sumber yang mengetahui perancangan ketenteraan.
Tentera AS juga boleh melaksanakan ancaman Trump sebelum ini untuk menyerang sasaran dwi-guna dan infrastruktur, termasuk kemudahan tenaga, bagi memaksa Iran kembali ke meja rundingan. Trump menegaskan operasi ketenteraan akan disambung jika tiada penyelesaian diplomatik dicapai.
Namun, serangan terhadap infrastruktur dilihat sebagai peningkatan konflik yang kontroversial, menurut beberapa pegawai semasa dan bekas pegawai AS.
Pilihan lain termasuk menyasarkan pemimpin tentera Iran dan individu yang dianggap menghalang rundingan. Antaranya ialah Ahmad Vahidi, yang menurut sumber merupakan Panglima Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Pegawai Jabatan Pertahanan AS enggan mengulas secara terperinci, dengan menyatakan semua pilihan masih terbuka untuk dipertimbangkan.
Trump turut mendakwa kepimpinan Iran kini berpecah selepas beberapa pegawai kanan terbunuh dalam operasi bersama AS-Israel, termasuk pemimpin tertinggi negara itu tetapi kemudian dinafikan oleh Teheran.
Presiden AS itu berkata pada Khamis bahawa AS tidak berada di bawah tekanan untuk menamatkan perang dengan Iran, namun menegaskan bahawa masa semakin suntuk bagi Teheran ketika gangguan akibat konflik itu menjejaskan ekonomi global.
Tentera Laut AS kini mempunyai 20 kapal di Asia Barat, termasuk tiga kapal pengangkut pesawat dan tujuh kapal di Lautan Hindi.
Kapal pengangkut pesawat USS George H.W. Bush telah tiba di Asia Barat, menurut pihak tentera ASt pada Khamis setelah belayar di Lautan Hindi dalam kawasan tanggungjawab Markas Pusat Amerika (CENTCOM).
Sebuah kapal pengangkut pesawat kedua, USS Gerald R. Ford beroperasi di Laut Merah pada Khamis, manakala sebuah lagi, USS Abraham Lincoln turut berada di rantau itu, menurut hantaran media sosial CENTCOM.
Penempatan kapal pengangkut pesawat ketiga ke Asia Barat berlaku ketika gencatan senjata lebih dua minggu yang menghentikan sementara kempen serangan udara dahsyat ASt–Israel terhadap Iran yang dilancarkan pada akhir Februari.










