AS lanjut pengecualian sekatan beli minyak Russia

AS lanjut pengecualian sekatan beli minyak Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan pengecualian sekatan selama sebulan yang membenarkan penjualan minyak mentah dan produk petroleum Russia yang sudah berada di laut, sekali gus melanjutkan langkah terdahulu bagi meredakan lonjakan harga tenaga.

Lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perbendaharaan itu hadir dua hari selepas Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent menyatakan Washington tidak akan memperbaharui pengecualian tersebut.

Langkah terbaharu itu membolehkan pembelian minyak dan produk petroleum yang sudah dimuatkan ke atas mana-mana kapal setakat Jumaat, sehingga pukul 12:01 pagi (waktu tempatan) pada 16 Mei.

Ia melanjutkan pelonggaran sekatan terdahulu yang tamat pada 11 April lalu.

Namun pada Rabu, Bessent memberitahu wartawan AS tidak akan melanjutkan pengecualian sama bagi minyak Russia mahupun minyak Iran.

Kedua-dua langkah tersebut bertujuan meredakan kejutan bekalan global susulan perang AS-Israel terhadap Iran.

Sejak Teheran menutup Selat Hormuz, harga minyak melonjak dan memberi tekanan kepada banyak negara, khususnya yang bergantung kepada import tenaga dari rantau berkenaan.

Harga petrol di AS turut meningkat, sekali gus menambah tekanan kepada isi rumah menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun ini.

Namun, pengecualian seperti ini berpotensi merumitkan usaha untuk menyekat pendapatan minyak Russia yang diperlukan bagi membiayai perang di Ukraine.

Minggu ini, selepas mesyuarat pemimpin kewangan kumpulan G7 di Washington, Menteri Kewangan Perancis, Roland Lescure menegaskan Russia tidak seharusnya mendapat manfaat daripada apa yang berlaku di Iran.

Beliau menegaskan Ukraine juga tidak sepatutnya menjadi ‘mangsa keadaan’.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×