Bekas Datuk Bandar Taipei dijel 17 tahun kerana rasuah - Utusan Malaysia

Bekas Datuk Bandar Taipei dijel 17 tahun kerana rasuah

KO Wen-je meninggalkan mahkamah di Taipei kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Bekas Datuk Bandar Taipei yang juga pernah bertanding jawatan presiden, dijatuhi hukuman penjara 17 tahun pada Khamis atas pertuduhan menerima rasuah dan menyalahgunakan dana sumbangan politik.

Ko Wen-je, pengasas Parti Rakyat Taiwan (TPP) yang kini menjadi kuasa ketiga dalam landskap politik Taiwan, didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Taipei. Puluhan penyokong beliau dilaporkan berkumpul di luar mahkamah sebelum keputusan diumumkan.

Wen-je, 66, didakwa pada Disember 2024 atas pertuduhan rasuah berkaitan projek pembangunan hartanah ketika beliau memegang jawatan Datuk Bandar Taipei. Beliau turut didakwa atas penyalahgunaan sumbangan untuk parti TPP dan sebuah yayasan kebajikan, serta pecah amanah.

Selain hukuman penjara 17 tahun, mahkamah turut memutuskan bahawa Wen-je dilarang daripada bertanding sebarang jawatan awam selama enam tahun.

Pihak pendakwaan sebelum ini menuntut hukuman penjara keseluruhan selama 28 tahun enam bulan. Bagaimanapun, Wen-je yang berkhidmat selama dua penggal sebagai Datuk Bandar Taipei dari 2014 hingga 2022, menafikan sebarang salah laku, menurut kenyataan pasukan peguamnya kepada AFP.

Skandal hartanah tersebut melibatkan projek pembangunan semula yang menyaksikan nisbah keluasan lantai ditingkatkan secara drastik dengan kelulusan kerajaan tempatan, yang didakwa memberi keuntungan tidak sah kepada pemaju.

Wen-je didapati menerima rasuah lebih NT17juta (RM2.13juta) dan terlibat dalam penyelewengan lebih NT68 juta (RM8.53 juta) daripada sumbangan politik kepada TPP serta sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan parti tersebut. 

Beliau juga didakwa menyalahgunakan sekitar NT$8.27 juta (RM1.03 juta) dana yayasan kebajikan sosial untuk kempen pilihan raya presidennya.

Wen-je meletak jawatan sebagai pengerusi TPP pada Januari 2025, beberapa bulan selepas ditahan dan tempatnya digantikan oleh Huang Kuo-chang. Kuo-chang sebelum ini menyifatkan tuduhan terhadap pengasas parti itu sebagai bermotifkan politik.

Beliau sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak NT$70 juta (RM8.78 juta) pada September tahun lalu. Menjelang keputusan mahkamah, salah seorang penyokongnya, Kenny Yang, mendakwa Wen-je telah difitnah dan menjadi mangsa penganiayaan politik. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN