BANGKOK: Seorang wanita meninggal dunia awal pagi hari ini di selatan Thailand selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sekolah tempat mangsa bertugas sebagai pengarah, menurut polis tempatan kepada AFP.
Polis menembak dan menahan suspek yang dikenal pasti media tempatan sebagai seorang lelaki berusia 18 tahun pada semalam selepas dia memasuki Sekolah Phatong Prathan Khiriwat, Hat Yai dengan senjata api, kata pihak berkuasa, sambil menambah beberapa das tembakan dilepaskan.
“Pengetua sekolah meninggal dunia sekitar pukul 3 pagi (hari ini) di Hospital Hat Yai selepas dihantar untuk pembedahan,” kata seorang pegawai polis di bandar Hat Yai.
“Penembak itu juga berada di hospital sama untuk mendapatkan rawatan,” tambah pegawai tersebut, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.
Pihak sekolah berkongsi ucapan takziah yang sedalam-dalamnya atas pemergian pengetua itu, Sasiphat Sinsamosorn dalam satu hantaran di Facebook.
“Walaupun kami telah kehilangan beliau, kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan akan kekal selama-lamanya dalam hati kami,” menurut hantaran itu.
Seorang pegawai polis di komuniti Thung Lung di bandar tersebut turut mengesahkan kematian pengetua sekolah itu.
Seorang wakil hospital enggan mengulas, dengan alasan peraturan privasi.
Menurut Kementerian Kesihatan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun turut dimasukkan ke hospital akibat kecederaan tembakan dan menjalani pembedahan selepas insiden itu.
Seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan pada buku lali selepas dia terjatuh dari tempat tinggi, tambah kementerian itu.
Thailand mempunyai antara kadar pemilikan senjata api tertinggi di rantau itu, dengan dianggarkan sekitar 10 juta senjata api berada dalam edaran iaitu satu senjata bagi setiap tujuh penduduk.
Janji-janji sebelum ini untuk mengetatkan undang-undang senjata tidak berjaya menghalang tragedi tembakan daripada berlaku di negara berkenaan. – AFP









