WASHINGTON: Enam orang wakil rakyat parti pemerintah Republikan di Dewan Perwakilan bertindak mengundi bersama majoriti rakan-rakan mereka daripada Demokrat di Amerika Syarikat (AS) telah membatalkan tarif melalui undian yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump ke atas Kanada, kelmarin.
Undian itu menandakan semakin meningkatnya rasa tidak selesa dalam kalangan Republikan terhadap strategi tarif agresif Trump dan kesediaan sebahagian wakil rakyat daripada parti tersebut untuk menentang presiden selepas berbulan-bulan seiring dengan pendirian Rumah Putih.
Wakil-wakil rakyat Republikan itu ialah Thomas Massie (Kentucky), Don Bacon (Nebraska), Kevin Kiley (California), Dan Newhouse (Washington), Jeff Hurd (Colorado) dan Brian Fitzpatrick (Pennsylvania) mengundi untuk menamatkan penggunaan pengisytiharan darurat nasional oleh Trump bagi mengenakan tarif ke atas Kanada.
Seorang wakil rakyat, Jared Golden (Maine) merupakan satu-satunya Demokrat yang mengundi tidak bagi membatalkan tarif yang dikenakan Trump tersebut.
Undian yang diadakan itu menandakan kali pertama Dewan Perwakilan secara rasmi membincangkan dan membuat keputusan mengenai agenda perdagangan Trump.
Keputusan undian adalah 219 wakil rakyat menyokong manakala 211 lagi menyatakan tentangan untuk tidak membatalkan tarif tersebut.
Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson (Louisiana), sepanjang setahun lalu telah menghalang dewan tersebut daripada mengundi resolusi untuk menolak tarif seperti yang dimahukan oleh Trump.
Halangan itu bagaimanapun mula runtuh pada malam Selasa lalu, apabila sekumpulan kecil wakil rakyat Republikan memberontak terhadap usaha kepimpinan parti untuk meneruskan tarif tersebut.
Satu undian prosedur yang bertujuan menghalang undian seperti itu daripada dilaksanakan sehingga 31 Julai depan akhirnya telah gagal selepas Massie, Kevin Kiley dan Bacon mengundi tidak yang menolak pelaksanaan tarif itu.
Rumah Putih dan kepimpinan parti Republikan telah melancarkan operasi agresif bagi memujuk wakil-wakil rakyat daripada parti tersebut untuk mengikut pendirian Trump pada Selasa lalu dengan mengumpulkan sokongan, namun usaha itu tidak berjaya.
Pemimpin Minoriti Dewan Perwakilan daripada Demokrat, Hakeem Jeffries berkata, tarif Trump menyebabkan harga melonjak dan menimbulkan ketidakpastian yang tidak perlu bagi keluarga Amerika.
“Hari ini, (kelmarin), wakil-wakil rakyat Demokrat Dewan (Perwakilan) memaksa undian berjaya untuk membatalkan tarif Trump ke atas Kanada,” katanya selepas undian tersebut diadakan.
Momen itu menunjukkan ketidakselesaan Dewan Perwakilan dengan arah tuju presiden, terutamanya menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang akan diadakan pada November depan ketika isu ekonomi menjadi tumpuan pengundi.
Trump baru-baru ini mengugut mengenakan tarif 100 peratus ke atas barang import dari Kanada susulan cadangan negara berkenaan mengenai perjanjian perdagangan dengan China, memperhebatkan pertelingkahan dengan sekutu lama AS itu dengan Perdana Menteri, Mark Carney.
Resolusi yang dikemukakan oleh Gregory Meeks, pemimpin utama Demokrat dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan, bertujuan menamatkan pengisytiharan darurat nasional yang diisytiharkan Trump setahun lalu melalui salah satu perintah eksekutifnya.
MEMBERONTAK
Menjelang pengundian, beberapa anggota Republikan menyatakan rasa tidak senang terhadap pilihan yang ada, apabila mereka bersama ahli-ahli Demokrat memberontak dengan mendesak rakan-rakan mereka supaya menggunakan kuasa sebagai wakil rakyat dan bukannya terus menyerahkan begitu banyak kuasa kepada presiden dalam soal dasar perdagangan dan tarif.
Sementara itu, Trump mengancam untuk menggagalkan peluang pilihan raya mana-mana wakil rakyat Republikan yang mengundi menyokong rang undang-undang tersebut.
“Mana-mana wakil rakyat Republikan, sama ada di Dewan Perwakilan atau Dewan Senat, yang mengundi menentang tarif akan menerima akibat yang serius apabila tiba musim pilihan raya (November depan), termasuk pemilihan awal parti,” tulis Trump di media sosial miliknya, Social Truth menjelang undian.
Beliau juga menuduh Kanada, salah satu rakan dagang terbesar dan sekutu terdekat Amerika telah menindas jirannya di selatan.
“Mereka (Kanada) antara yang paling sukar di dunia untuk berurusan, terutamanya berkaitan dengan sempadan utara kita. Tarif menjadikan kemenangan untuk kita, sesuatu yang mudah. Republikan mesti mengekalkannya begitu!” tulisnya lagi.
Rang undang-undang itu kini akan dibawa ke Dewan Senat Amerika di mana ia berkemungkinan besar akan diluluskan.
Dewan tersebut sebelum ini telah meluluskan undang-undang serupa yang bertujuan mengehadkan tarif Trump terhadap Kanada, masing-masing pada April dan Oktober tahun lalu.
Namun, ia tidak akan menjadi undang-undang. Walaupun diluluskan oleh Dewan Senat, Trump dijangka menggunakan kuasa veto terhadap rang undang-undang tersebut.
Kongres AS memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Perwakilan dan Dewan Senat untuk mengatasi veto presiden. Ini memerlukan pembelotan besar-besaran dalam kalangan wakil-wakil rakyat Republikan, jauh lebih ramai daripada yang berlaku dalam undian kelmarin.
Walau bagaimanapun, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa tarif Trump secara umumnya tidak popular dalam kalangan pengundi-pengundi Amerika, yang menyalahkan dasar tersebut sebagai antara punca kenaikan harga pelbagai barangan.
Sebagai contoh, pada 4 Februari lalu, Pusat Penyelidikan Pew mendapati bahawa 60 peratus responden tidak bersetuju dengan peningkatan tarif oleh Trump, manakala hanya 37 peratus menyatakan sokongan. – AGENSI










