WASHINGTON/BEIJING: Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) yang membatalkan sebahagian besar tarif lyang diperkenalkan Presiden Donald Trump menimbulkan ketidaktentuan baharu dalam hubungan AS-China ketika kedua-dua negara berusaha mengelak perang perdagangan yang boleh menggugat ekonomi global.
Keputusan mahkamah pada Jumaat lalu dilihat menguatkan kedudukan China, namun beberapa penganalisis meramalkan bahawa Beijing akan berhati-hati dalam memanfaatkan kelebihan tersebut, memandangkan Trump masih mempunyai cara lain untuk mengenakan cukai.
Kedua-dua pihak juga mahu mengekalkan gencatan perdagangan yang rapuh dan menstabilkan hubungan menjelang lawatan Trump ke Beijing pada akhir Mac ini.
Trump akan melawat China dari 31 Mac hingga 2 April, kunjungan pertama oleh seorang presiden Amerika sejak lawatan terakhir beliau pada 2017. Presiden China, Xi Jinping juga dijangka melakukan lawatan negara ke Washington pada lewat tahun ini.
Trump, yang marah dengan kekalahan di mahkamah itu, mula-mula mengumumkan tarif global sementara 10 peratus sebelum menaikkannya kepada 15 peratus sambil meneroka laluan alternatif untuk cukai import.
Beliau mendakwa tarif itu diperlukan bagi mengekang penguasaan China yang merupakan cabaran terbesar kepada dominasi ekonomi, teknologi dan ketenteraan AS.
“China mempunyai lebihan perdagangan bernilai ratusan bilion dolar dengan AS. Mereka membina semula China, mereka membina semula tentera. Kita seumpama membina tentera China dengan membenarkan perkara itu berlaku.
“Hubungan saya dengan Jinping sangat baik, tetapi kini beliau menghormati negara kita,” kata Trump kepada pemberita pada Jumaat lalu.
Penganalisis berkata keputusan itu boleh mengubah dinamik usaha untuk melanjutkan gencatan perdagangan yang dirundingkan tahun lalu dan merumitkan usaha Trump bagi mendorong Beijing membeli kuantiti besar kacang soya AS, pesawat Boeing dan eksport tenaga.
“Ia mengehadkan keupayaan Trump untuk menggunakan tarif sesuka hati, mengurangkan tekanan ke atas Beijing untuk meningkatkan pembelian kacang soya atau melonggarkan akses unsur nadir bumi dan memberi China kelebihan untuk mendesak pemansuhan baki tarif 10 peratus yang dikaitkan dengan fentanyl (ubat penahan sakit),” kata Dan Wang, Pengarah China di Eurasia Group, sebuah kumpulan perunding politik.
Walaupun kuasa tarif Trump mungkin agak terhad, beliau boleh menggunakan langkah bukan tarif seperti kawalan teknologi dan sekatan terhadap entiti China sebagai alat rundingan..
“Langkah yang mempunyai kesan struktur sebenar masih merupakan alat bukan tarif,” kata Dan Wang. Ini termasuk perluasan kawalan eksport ke atas cip maju dan sekatan yang lebih luas terhadap firma teknologi China, katanya.
Pendirian Amerika mengenai isu Taiwan, pertikaian di Laut China Selatan dan hubungan keselamatan dengan Jepun serta Korea Selatan masih banyak bergantung kepada Trump, tambah beliau.
Dalam pada itu, Pengarah di Pusat Pengajian Amerika, Universiti Fudan, Shanghai, Xinbo Wu berkata, bagi pihak Beijing pula, ia boleh menggunakan peluang itu untuk mendesak Washington melonggarkan kawalan eksport teknologi, mengeluarkan entiti China tertentu daripada senarai sekatan AS dan mengurangkan jualan senjata kepada Taiwan.
“(Keputusan itu) sememangnya membantu mengukuhkan kedudukan China dalam rundingannya dengan Amerika,” kata Wu.
Dalam satu hantaran di media sosial miliknya, Truth Social pada Sabtu lalu, Trump memberi amaran bahawa lebih banyak tarif akan menyusul: “Dalam beberapa bulan yang singkat akan datang, pentadbiran Trump akan menentukan dan mengeluarkan tarif baharu yang sah di sisi undang-undang.”
Masih belum jelas sama ada sebarang dokumen rasmi telah ditandatangani yang memperincikan jadual pelaksanaan. Lembaran fakta Rumah Putih yang dikeluarkan pada Jumaat lalu menyatakan tarif asal 10 peratus akan berkuat kuasa hari ini pada pukul 12.01 pagi waktu tempatan AS.
Sebelum keputusan itu, Washington telah mengenakan tarif tambahan 20 peratus ke atas eksport China tahun lalu termasuk tarif timbal balik 10 peratus dan tarif berkaitan fentanyl 10 peratus dengan memetik kuasa Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).
Keputusan Mahkamah Agung Amerika membayangkan pengurangan bersih kira-kira 5 peratus dalam tarif AS ke atas China, menurut bank dan firma perkhidmatan pelaburan, Goldman Sachs.
“Secara keseluruhan, perkembangan ini menunjukkan risiko kenaikan kepada unjuran positif kami terhadap eksport China tahun ini,” kata Goldman.
Satu kajian oleh badan pemantauan perdagangan Global Trade Alert juga menamakan China antara pemenang utama di bawah rejim tarif Seksyen 122 yang disemak, dengan pengurangan kadar tarif sebanyak 7.1 mata peratusan.
Bekas perunding kepada Kementerian Perdagangan China, Jong Gong berkata, Beijing tidak mempertaruhkan strategi mereka pada pertikaian antara cabang eksekutif dan kehakiman kerajaan AS, walaupun kadar tarif yang lebih rendah adalah sesuatu yang baik untuk dimiliki.
Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan China sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap impak keputusan mahkamah dan menyeru Washington untuk membatalkan tarif unilateralnya.
“Tiada pihak yang menang dalam perang perdagangan dan proteksionisme tidak membawa ke mana-mana,” kata kementerian itu. – AGENSI/AFP










