Stesen radio baharu jadi ‘suara rakyat’ di Gaza 

Stesen radio baharu jadi ‘suara rakyat’ di Gaza 

ANGGOTA stesen radio bertugas dari kawasan ibu pejabat yang rosak di Gaza City.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Dari sebuah studio kecil di bandar tengah Deir el-Balah, suara dj, Sylvia Hassan bergema ke seluruh Semenanjung Gaza, disiarkan melalui salah satu stesen radio terawal di wilayah Palestin itu yang kembali ke udara selepas dua tahun perang.

Sylvia, penyampai di stesen baharu ‘Here Gaza’, bersiaran dari bilik terang yang dilengkapi peralatan audio, sementara pasukan teknikal memantau tahap bunyi dan mencampur trek latar pada konsol siaran.

“Stesen radio ini adalah impian yang kami usahakan selama berbulan-bulan, kadangkala tanpa tidur. Ia satu cabaran buat kami dan kisah tentang ketahanan,” katanya kepada AFP.

Menurut Sylvia, stesen itu akan memberi tumpuan kepada isu sosial dan keadaan kemanusiaan di Gaza, yang masih kritikal walaupun selepas gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan Hamas dikuatkuasakan sejak Oktober.

“Matlamat stesen ini ialah menjadi suara rakyat di Gaza dan menyuarakan masalah serta penderitaan mereka, terutama selepas perang. Banyak isu yang perlu diluahkan oleh orang ramai,” kata anggota pasukan penyiaran, Shereen Khalifa.

Peperangan memusnahkan infrastruktur telekomunikasi dan bekalan elektrik, sekali gus menyukarkan usaha menghidupkan semula media tempatan. Shereen menjelaskan, masalah bekalan elektrik adalah antara cabaran paling besar.

“Kami ada tenaga solar, tetapi kadangkala ia tidak berfungsi dengan baik, jadi kami terpaksa bergantung kepada generator luar,” katanya.

Pelancaran stesen itu dibiayai Kesatuan Eropah (EU) dan dipantau organisasi sokongan wartawan wanita Palestin, Filastiniyat bersama pusat media di Universiti Nasional An-Najah di Nablus, Tebing Barat yang diduduki.

Stesen itu merancang bersiaran selama dua jam sehari dari Gaza dan tempoh lebih panjang dari Nablus, serta boleh diakses melalui FM dan dalam talian. 

Shereen berkata, akses internet stabil merupakan antara halangan terbesar ketika penubuhannya, namun siaran kini dapat disampaikan tanpa gangguan bunyi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×