Perubahan rejim Iran perkara terbaik - Trump

Perubahan rejim Iran perkara terbaik – Trump

AYATOLLAH Ali Khamenei (kiri) dan Donald Trump
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa perubahan rejim di Iran adalah ‘perkara terbaik yang boleh berlaku’, dalam kenyataan yang dilihat sebagai antara sokongan paling jelas beliau terhadap pertukaran kepimpinan ulama di negara itu.

Trump berkata, selama 47 tahun pihak berkuasa Iran hanya bercakap tanpa henti, sambil mendakwa banyak nyawa terkorban sepanjang tempoh itu. 

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang patut memimpin Iran, hanya menyebut terdapat individu yang boleh mengambil alih. 

Semalam, AS mengerahkan kapal pengangkut pesawat kedua ke Asia Barat untuk menambah tekanan terhadap Iran bagi mendapatkan perjanjian nuklear. 

Kapal USS Gerald R. Ford, kapal perang terbesar dunia dan pengangkut pesawat terbaharu AS, dijangka dipindahkan tidak lama lagi dari Caribbean ke rantau itu untuk menyertai USS Abraham Lincoln yang sudah ditempatkan di sana.

Menurut Pentagon, kapal itu dihantar pada Januari selepas Washington mengancam untuk melancarkan serangan bagi menghentikan tindakan keras kerajaan Iran terhadap protes besar-besaran yang mengorbankan ribuan nyawa. 

Menurut pegawai AS, angkatan tentera negara itu juga sedang bersiap sedia untuk kemungkinan operasi berpanjangan selama beberapa minggu terhadap Iran sekiranya Trump mengarahkan serangan.

Gelombang demonstrasi tersebut merupakan antara pergolakan terburuk sejak revolusi Islam 1979 yang menubuhkan sistem pemerintahan ulama.

Walaupun Trump memberi amaran kemungkinan serangan jika tiada perjanjian nuklear dicapai, beliau menegaskan rundingan akan diteruskan selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih Khamis lalu. 

Dalam ucapan di Fort Bragg, beliau berkata, Iran perlu menawarkan perjanjian yang sepatutnya dipersetujui sejak awal bagi mengelakkan serangan.

Washington mendesak Teheran menghentikan pengayaan uranium, manakala kerajaan Netanyahu menuntut Iran menamatkan program peluru berpandu balistik serta sokongan kepada kumpulan proksi seperti Hamas dan Hezbollah.

Setakat ini, Iran memberi bayangan bersedia mengehadkan program nuklearnya sebagai balasan kepada pelonggaran sekatan ekonomi, namun Presidennya, Masoud Pezeshkian menegaskan Teheran tidak akan tunduk kepada tuntutan yang dianggap melampau.

Trump sebelum ini menarik keluar ASdaripada perjanjian nuklear era pentadbiran terdahulu dan mengembalikan sekatan yang memberi tekanan besar kepada ekonomi Iran. Pentadbiran beliau menyambung semula rundingan tahun lalu untuk mencapai perjanjian baharu sebelum konflik 12 hari antara Israel dan Iran tercetus.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN