Kerakusan Israel di bulan Ramadan - Utusan Malaysia

Kerakusan Israel di bulan Ramadan

KELUARGA Palestin berkumpul dan menikmati hidangan berbuka puasa, di tengah kemusnahan di kem pelarian Bureij di tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA/GAZA: Kerajaan Israel telah meningkatkan serangannya ketika penduduk Palestin menunaikan ibadat berpuasa  dalam bulan suci Ramadan di Tebing Barat dan Gaza walaupun terdapat gencatan senjata 20 perkara yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada tahun lalu.

Pada 29 September tahun lalu,  Washington mengemukakan 20 perkara untuk menamatkan perang genosid Israel di Gaza, membebaskan baki tawanan yang ditahan di wilayah itu, membenarkan kemasukan penuh bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dikepung tersebut dan menggariskan pengunduran tiga fasa tentera Israel.

Namun, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sejak  gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Januari tahun lalu rejim Zionis telah membunuh sekurang-kurangnya 618 rakyat Palestin dan mencederakan 1,663 yang lain sehingga Rabu lalu.

Israel juga melanggar perjanjian gencatan senjata sekurang-kurangnya sebanyak 1,620 kali dari 10 Oktober 2025 hingga 10 Februari 2026, melalui penerusan serangan udara, bedilan artileri dan tembakan langsung, lapor Pejabat Media Kerajaan di Gaza.

Berucap pada majlis berbuka puasa di Ankara, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kelmarin mengkritik apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan berterusan Israel sepanjang bulan suci Ramadan.

MENGUTUK

Erdogan mengutuk tindakan Israel yang terus meningkatkan serangan ke atas Gaza dan Tebing Barat yang diduduki rejim Zionis, walaupun gencatan senjata sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata, rakyat Gaza yang berbuka puasa di bangunan sementara di tengah-tengah runtuhan dan tidak menyerah kepada penindasan menunjukkan contoh keberanian dan kekuatan iman kepada umat Islam.

“Walaupun gencatan senjata pada 10 Oktober 2025 dicapai hasil usaha Turkiye, kerajaan Israel terus meningkatkan serangan ke atas Gaza dan Tebing Barat,” katanya.

Erdogan turut mengkritik sekatan berterusan yang dikenakan Israel untuk membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu.

“Sekatan, penyalahgunaan dan tindakan sewenang-wenangnya Israel di pintu sempadan Rafah, yang merupakan talian hayat Gaza, masih berterusan sehingga kini,” katanya.

Beliau menyuarakan harapan agar bulan suci Ramadan memberi kelegaan dan keamanan kepada rakyat yang ditindas di seluruh dunia khususnya Palestin, sambil menegaskan solidariti Turkiye terhadap mereka.

Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada 8 Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 individu.

Pada Mac 2024 lalu, penduduk Palestin memberitahu saluran berita CNN bahawa perang itu telah memusnahkan harapan untuk menyambut bulan berpuasa, perayaan dan ibadat yang aman berbanding sebelum serangan..

Malah, tahun lalui, ramai keluarga di Gaza sama ada kehilangan tempat tinggal, hidup di jalanan atau berhimpit dalam khemah kecil, menjadikan mustahil untuk mereka mengamalkan tradisi Ramadan yang pernah mereka hargai. 

Ruang-ruang di Gaza yang dahulunya meriah kini bertukar menjadi tempat penuh penderitaan, apabila hidangan iftar yang sederhana pun menjadi impian yang jauh bagi ramai penduduk di wilayah Palestin itu.

MAUT

Pada Rabu lalu, tiga rakyat Palestin terbunuh dan empat yang lain cedera dalam beberapa siri serangan udara, bedilan artileri dan serangan dron Israel di seluruh Semenanjung Gaza.

Menurut pengesahan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, pasukan pertahanan awam turut menemui enam mayat dari bawah runtuhan rumah yang musnah akibat pengeboman sebelum ini.

Peneroka haram Yahudi juga telah mencemarkan dan membakar sebuah masjid di Tebing Barat yang diduduki semasa bulan suci Ramadan, menandakan insiden terbaharu dalam gelombang keganasan Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah tersebut.

Sementara itu, Gerakan Jihad Islam Palestin mengecam keras mesyuarat pertama Lembaga Keamanan di Washington Khamis minggu lalu dengan menyifatkannya sebagai ‘pertunjukan teater’ yang terpisah daripada realiti di lapangan di Gaza.

Sebaliknya, Jihad Islam menganggap inisiatif itu sekadar sebahagian daripada gerakan politik lebih luas Trump untuk membentuk semula masa depan Gaza mengikut syarat AS dan Israel.

Dalam kenyataan media pada Selasa, Timbalan Setiausaha Agung Jihad Islam, Mohammed al-Hindi berkata, Lembaga Keamanan hanya menerima pakai agenda pendudukan Israel dan mementingkan keselamatan rejim itu.

Kumpulan itu mengkritik kegagalan Washington untuk menangani realiti politik utama, khususnya pengunduran penuh Israel dari Gaza.

Jihad Islam turut menyorot pelanggaran berterusan Israel di Tebing Barat, termasuk rampasan tanah Palestin dan perluasan penempatan haram Yahudi, dengan menuduh Washington hanya menutup mata terhadap perkembangan itu.

Lembaga Keamanan ditubuhkan sebagai sebahagian daripada usaha mencapai penyelesaian politik di Gaza. Berdasarkan perjanjian antara Israel dan Hamas, ia dijangka mengambil alih tanggungjawab mentadbir wilayah tersebut.

Bagaimanapun, laporan menunjukkan mandat lembaga itu mungkin diperluaskan, termasuk pencegahan dan penyelesaian konflik di bahagian lain dunia. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN