BAITULMAQDIS – Pengawal Kebangsaan Israel, yang diselia oleh Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir sedang memperoleh sistem dron khusus direka untuk menjatuhkan ‘tabung’ gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan Palestin.
Menurut media berbahasa Yahudi, polis telah meluluskan kontrak segera bagi sistem ‘Surprise Egg’ atau ‘Serangan Telur Mengejut’.
Penggunaan dron itu akan digunakan sepanjang bulan Ramadan yang akan datang di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki tentera Israel.
Dron-dron itu digunakan seiring dengan keputusan tentera rejim Zionis untuk memperkukuh kehadirannya di Tebing Barat dengan unit komando dan melaksanakan sekatan umur ke atas umat Islam yang ingin memasuki Masjid Al-Aqsa.
Jawatankuasa tender polis meluluskan pembelian tiga sistem yang dipasang pada dron dan direka untuk menjatuhkan ‘tabung’ gas pemedih mata, lapor saluran televisyen Israel, Channel 12.
Kontrak itu dianggarkan bernilai kira-kira AS$49,000 (RM191,000).
Polis Israel sudah pun mengendalikan 19 sistem serupa, menurut Channel 12.
Menurut saluran televisyen itu, dokumen tender menggambarkan pembelian tersebut sebagai mendesak bagi menghadapi kejadian yang dijangka berlaku semasa Ramadan..
Awal minggu ini, Channel 12 melaporkan bahawa tentera Israel memutuskan untuk memperkukuh kehadirannya di Tebing Barat yang diduduki sepanjang Ramadan, termasuk mengerahkan sebuah briged komando.
Selain 22 batalion yang kini ditempatkan di wilayah diduduki itu, tentera rejim Zionsi merancang untuk menghantar unit tambahan, menurut laporan tersebut.
Lebih banyak unit tentera juga dijangka ditempatkan di sekatan jalan raya menjelang kemasukan ribuan jemaah ke kawasan kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.
Tentera telah mengesyorkan kepada Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, supaya sehingga 10,000 penganut Islam dibenarkan memasuki kompleks itu setiap Jumaat sepanjang Ramadan, menurut Channel 12.
Ia juga mengesyorkan hanya lelaki berusia lebih 55 tahun dan wanita berusia lebih 50 tahun dibenarkan masuk ke masjid tersebut.
Pada Jumaat lalu, bekas Mufti Baitulmaqdis, Sheikh Ikrima Sabri berkata, beliau kesal dengan keputusan Israel untuk mengehadkan akses sepanjang Ramadan dan memberi amaran bahawa rejim Zionis sedang melaksanakan pelan agresif yang menyasarkan tapak suci itu. – AGENSI










