Belanda lancar siasatan terhadap Roblox 

Belanda lancar siasatan terhadap Roblox 

ACM memulakan siasatan terhadap Roblox bagi memastikan platform permainan popular itu mengambil langkah berkesan untuk melindungi kanak-kanak.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Belanda memulakan siasatan terhadap Roblox untuk menilai sama ada platform permainan popular itu mengambil langkah berkesan bagi melindungi kanak-kanak, susulan laporan mereka terdedah kepada imej ganas dan seksual.

Pengawal selia pengguna Belanda (ACM) berkata, siasatan itu akan meneliti risiko berpotensi kepada pengguna bawah umur di Kesatuan Eropah (EU) dan dijangka mengambil masa sekitar setahun.

“Platform ini kerap menjadi perhatian media, terutamanya kerana kebimbangan tentang permainan ganas atau bersifat seksual yang didedahkan kepada kanak-kanak,” menurut kenyataan ACM.

Kebimbangan lain termasuk laporan tentang orang dewasa berniat jahat yang mensasarkan kanak-kanak di platform itu dan teknik mengelirukan untuk mendorong pembelian.

ACM berkata, pihaknya turut menerima laporan mengenai dakwaan tersebut dan menganggap ia alasan yang mencukupi untuk memulakan siasatan rasmi terhadap kemungkinan pelanggaran peraturan oleh Roblox.

Di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA) EU, platform mesti mengambil tindakan sewajarnya dan sepadan untuk memastikan tahap keselamatan dan privasi tinggi bagi kanak-kanak.

ACM boleh mengenakan arahan mengikat, denda atau penalti terhadap Roblox jika mendapati peraturan dilanggar. 

Pada 2024, ACM mengenakan denda 1.1 juta euro (RM5.16 juta) ke atas Epic Games, pengeluar Fortnite, kerana menilai kanak-kanak yang terdedah dieksploitasi dan ditekan membuat pembelian di kedai item permainan itu.

Jurucakap Roblox memberitahu platform itu sangat komited untuk mematuhi peraturan DSA dan berharap dapat memberikan penjelasan lanjut mengenai tindakan mereka.

“Kami sudah melabur secara besar-besaran dalam membina sistem yang kukuh selaras dengan prinsip DSA, termasuk memastikan keselamatan, sekuriti dan privasi kanak-kanak,” kata jurucakap itu.

Roblox turut menunjukkan langkah terkini yang diambil, termasuk keperluan semakan umur untuk semua pengguna yang ingin bersembang dengan orang lain di platform itu dan menghalang orang dewasa berkomunikasi dengan kanak-kanak.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×