Bandar AS bantah pelan 'gudang pendatang' ICE

Bandar AS bantah pelan ‘gudang pendatang’ ICE

PENDUDUK membantah projek menukar sebuah gudang menjadi pusat tahanan ICE di Roxbury, New Jersey.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROXBURY: Penduduk di pinggir bandar konservatif di New Jersey melancarkan bantahan terhadap rancangan menukar sebuah gudang besar menjadi pusat tahanan imigresen sebagai sebahagian kempen pengusiran besar-besaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Peningkatan tangkapan imigresen mendorong permintaan terhadap lebih banyak kemudahan penahanan dan pegawai kini meninjau hab logistik kosong di seluruh AS walaupun kumpulan hak asasi menyuarakan kebimbangan lokasi tersebut tidak sesuai digunakan.

Dalam usaha menghalang ICE daripada datang ke kawasan mereka, kira-kira 500 penduduk Roxbury, kawasan pinggir bandar dengan kadar jenayah rendah berhimpun di tepi jalan minggu ini sambil memegang papan tanda bertulis ‘Bukan bandar penjara’ dan ‘ICE keluar dari kawasan kami’.

“Ini gudang. Ia direka untuk menyimpan bungkusan dan barangan, bukan manusia,” kata seorang penduduk, William Angus, 55, yang mengetuai bantahan terhadap rancangan tersebut di hadapan sebuah gudang seluas 65 kilometer di bandar Roxbury.

Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) membeli atau menyewa sekurang-kurangnya lapan kemudahan seumpamanya dari Texas hingga Pennsylvania untuk ditukar menjadi pusat tahanan.

Namun agensi yang mengetuai tindakan keras imigresen itu dilaporkan sudah berundur daripada beberapa lokasi susulan tentangan awam.

Tinjauan pendapat turut menunjukkan taktik agresif ICE menyebabkan agensi itu kehilangan sokongan rakyat AS.

“Saya tidak mahu kem tahanan tidak berperikemanusiaan di negara saya, apatah lagi di New Jersey,” kata seorang jururawat, Heidi, 50.

Menurut Majlis Imigresen AS, sejak Trump memulakan penggal kedua pada Januari 2025, jumlah pusat tahanan imigresen di AS hampir dua kali ganda daripada 114 kepada 218 menjelang akhir November. Sekurang-kurangnya 30 kematian tahanan direkodkan di penjara ICE tahun lalu.

Kedua-dua ahli politik Demokrat dan Republikan menentang kemudahan ICE di kawasan mereka walaupun Republikan lebih menumpukan kesan terhadap infrastruktur dan sumber, berbanding isu hak asasi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN