WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan pelaksanaan tarif lebih tinggi AS terhadap beberapa barangan perabot import selama setahun, dengan arahan penangguhan dibuat hanya beberapa jam sebelum ia dijadual berkuat kuasa pada Khamis.
Kenaikan tarif itu sebelum ini dirancang di bawah fasa awal cukai khusus sektor yang diperkenalkan Trump.
Ia juga sebahagian daripada rangkaian tarif yang dilaksanakannya sejak kembali ke Rumah Putih.
Namun, ketika isi rumah di AS berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi, Trump mengumumkan penangguhan tarif yang dirancang iaitu 30 peratus ke atas perabot tertentu dan 50 peratus ke atas kabinet dapur serta meja sinki ke 1 Januari 2027.
Menurut kenyataan Rumah Putih, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada rundingan lanjut dengan negara-negara terlibat.
“Berikutan rundingan yang masih berjalan secara konstruktif berkaitan import produk kayu, Presiden memutuskan untuk menangguhkan kenaikan tarif bagi membolehkan perbincangan lanjut diteruskan,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang 2025, tarif yang diperkenalkan Trump meliputi pelbagai barangan termasuk keluli dan automotif, manakala beberapa siasatan lain yang berpotensi membawa kepada cukai baharu masih dijalankan.
Pada Oktober lalu, AS mengenakan tarif 10 peratus ke atas kayu lembut dan balak import, selain tarif 25 peratus ke atas perabot tertentu serta kabinet dapur.
Pentadbiran Trump mempertahankan langkah itu sebagai usaha mengukuhkan industri tempatan dan melindungi keselamatan negara.
Kadar tarif lebih tinggi yang sepatutnya berkuat kuasa Khamis lalu dijangka memberi kesan kepada import dari negara seperti Vietnam dan China yang merupakan pembekal utama perabot ke pasaran AS.
Sementara itu, Mahkamah Agung AS dijadualkan membuat keputusan berhubung kesahihan tarif menyeluruh negara yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA). -AGENSI











