MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin bertemu ketua badan keselamatan tertinggi Iran di Moscow menurut Kremlin.
Pertemuan itu dibuat ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berusaha menekan Teheran supaya mencapai perjanjian berhubung program nuklearnya.
“Ketua negara menerima kunjungan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Republik Islam Iran, Ali Larijani, yang sedang melawat Russia,” kata Kremlin dalam satu kenyataan di laman web rasminya.
Terdahulu pada Jumaat, Trump berkata beliau percaya Iran, sekutu rapat Russia mahu mencapai perjanjian berkaitan program nuklearnya bagi mengelakkan tindakan ketenteraan.
Trump turut memperbaharui ancamannya untuk melancarkan serangan terhadap Iran, yang baru-baru ini melaksanakan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, dengan pemerhati mendakwa ribuan terbunuh.
Kedutaan Iran di Moscow memaklumkan di media sosial, perbincangan antara Putin dan Larijani pada Jumaat tertumpu kepada hubungan ekonomi serta isu-isu penting serantau dan antarabangsa, tanpa memberikan perincian lanjut.
Lawatan itu tidak diumumkan lebih awal, menurut agensi berita negara Russia, RIA Novosti.
Moscow dialporkan menawarkan diri untuk menjadi orang tengah antara Washington dan Teheran.
Iran muncul sebagai satu daripada sekutu utama Russia sepanjang perang di Ukraine dan Moscow turut memberikan sokongan antarabangsa yang penting kepada Teheran.-AFP










