Penunjuk perasaan Iran ceroboh bangunan kerajaan ketika rusuhan berterusan

Penunjuk perasaan Iran ceroboh bangunan kerajaan ketika rusuhan berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Penunjuk perasaan di Iran dilaporkan cuba menceroboh sebuah bangunan kerajaan tempatan di wilayah Fars, selatan negara itu, pada hari keempat demonstrasi yang tercetus susulan kejatuhan nilai mata wang.

Pegawai keselamatan memaklumkan tiga anggota polis cedera manakala empat individu ditahan dalam insiden di bandar Fasa manakala pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan turut dilaporkan berlaku di wilayah barat Hamedan dan Lorestan.

Di ibu negara, Teheran, pihak berkuasa mengisytiharkan Rabu sebagai cuti umum perbankan, yang dilihat sebagai usaha untuk meredakan ketegangan.

Rakaman video yang tular di media sosial dan disahkan oleh BBC menunjukkan sekumpulan penunjuk perasaan memecahkan pintu pagar pejabat gabenor di Fasa.

Dalam satu lagi rakaman, anggota keselamatan kelihatan melepaskan tembakan sebagai tindak balas, manakala kepulan gas pemedih mata dilihat berlegar di hadapan deretan kedai yang ditutup.

Di seluruh negara, sekolah, universiti dan institusi awam ditutup berikutan pengumuman cuti umum secara mengejut oleh kerajaan Iran.

Secara rasmi, langkah itu dikatakan bagi menjimatkan tenaga susulan cuaca sejuk, namun ramai rakyat Iran menganggapnya sebagai usaha untuk mengawal dan menyekat protes.

Demonstrasi bermula di Teheran pada Ahad lalu melibatkan peniaga yang marah terhadap kejatuhan mendadak nilai mata wang Iran berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di pasaran terbuka.

Menjelang Selasa, pelajar universiti turut menyertai protes yang kemudiannya merebak ke beberapa bandar lain, dengan penunjuk perasaan melaungkan slogan menentang kepimpinan ulama negara itu.

Protes kali ini merupakan yang paling meluas sejak kebangkitan rakyat pada 2022 susulan kematian Mahsa Amini dalam tahanan, seorang wanita muda yang dituduh oleh polis moral kerana tidak memakai tudung dengan betul, namun skalanya tidak sebesar peristiwa berkenaan.

Bagi mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan, kawalan keselamatan dilaporkan diperketatkan di kawasan Teheran yang menjadi lokasi awal demonstrasi.

Presiden, Masoud Pezeshkian berkata, kerajaannya akan mendengar tuntutan sah para penunjuk perasaan.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Mohammad Movahedi-Azad memberi amaran sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan akan berdepan tindakan tegas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×