NEW YORK: Syarikat angkasa lepas milik Jeff Bezos, Blue Origin memaklumkan akan menghentikan sementara penerbangan roket pelancongan angkasa bagi menumpukan lebih banyak sumber kepada usaha penerokaan bulan.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, pihaknya akan menghentikan penerbangan New Shepard untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun bagi mempercepatkan lagi pembangunan keupayaan penerbangan manusia ke bulan milik Blue Origin.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen Blue Origin terhadap matlamat negara untuk kembali ke bulan dan mewujudkan kehadiran manusia di bulan secara kekal dan mampan,” menurut kenyataan itu.
New Shepard ialah roket boleh guna semula yang membawa puluhan manusia melintasi Garis Kármán, sempadan angkasa lepas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Namun, Blue Origin juga menyasarkan untuk bersaing dengan SpaceX milik hartawan, Elon Musk dalam pasaran penerbangan orbit.
Tahun lalu, syarikat yang diasaskan Bezos itu berjaya melaksanakan dua penerbangan orbit tanpa pemandu menggunakan roket besar New Glenn, yang jauh lebih berkuasa berbanding New Shepard.
Pada tahun yang sama, NASA mengumumkan pembukaan bidaan bagi misi Bulan yang dirancang dalam fasa ketiga program Artemis bagi mewujudkan persaingan dengan SpaceX, yang menurut ketua agensi berkenaan ketika itu masih ketinggalan.
Blue Origin kini memegang kontrak bagi misi kelima yang dirancang dalam program Artemis bernilai berbilion dolar.
Penggal kedua Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih menyaksikan pentadbirannya meningkatkan tekanan ke atas NASA supaya mempercepatkan kemajuan menghantar misi angkasawan ke bulan, ketika China turut giat melaksanakan usaha serupa.-AFP











