Wira Pantai Bondi terima sumbangan dana RM4.49 juta

Wira Pantai Bondi terima sumbangan dana RM4.49 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Sumbangan orang ramai kepada seorang lelaki yang bertindak pantas merampas senjata daripada suspek kejadian tembakan di Pantai Bondi kini melepasi A$1.1 juta (RM4.49 juta), ketika dia sedang dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan.

Penjual buah, Ahmed al Ahmed, 43, bersembunyi di belakang kereta yang diparkir sebelum menyerbu dari belakang ke arah salah seorang lelaki bersenjata, merampas raifalnya dan menumbangkannya ke tanah.

Perdana Menteri,, Anthony Albanese berkata keberanian Ahmed telah menyelamatkan banyak nyawa.

“Apa yang kita saksikan dalam tempoh 24 jam lalu ialah sisi terburuk kemanusiaan melalui satu tindakan pengganas.

“Namun, kita juga melihat contoh terbaik kemanusiaan apabila Ahmed Al Ahmed berlari ke arah bahaya, mempertaruhkan nyawanya sendiri,” kata Albanese kepada penyiar awam ABC News.

Menurut ibu bapanya yang berasal dari Syria, Mohamed Fateh Al Ahmed dan Malakeh, Ahmed bertindak selepas dia melihat orang ramai sedang nazak dan nyawa semakin terkorban.

Katanya, apabila penyerang kehabisan peluru, Ahmed merampas senjatanya, namun dia ditembak.

“Ahmed ditembak empat hingga lima kali di bahagian bahu, dengan beberapa peluru masih tertanam di dalam tubuhnya,” kata mereka dalam temu bual bersama Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Polis Australia pada Isnin berkata, penyerang berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 24 tahun melakukan serangan tersebut semasa ketika sambutan perayaan Yahudi di Pantai Bondi, mengorbankan 16 nyawa.

Kejadian tembakan tersebut disifatkan insiden terburuk di negara itu dalam tempoh 30 tahun dengan ucapan penghormatan, sokongan dan kecaman diterima daripada pemimpin luar negara.

Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns dalam satu kenyataan di media sosial berkata, beliau melawat Ahmed di Hospital St George dan menyampaikan rasa terima kasih rakyat di seluruh negeri itu.

“Ahmed ialah seorang wira sebenar. Terima kasih Ahmed,” katanya bersama
satu foto menunjukkan Minns di sisi katil Ahmed yang bersandar pada bantal dan lengan kirinya berbalut simen.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyifatkan Ahmed sebagai seorang yang ‘sangat, sangat berani’ yang telah menyelamatkan banyak nyawa.

Kempen GoFundMe yang ditubuhkan untuk Ahmed berjaya mengumpul lebih A$1.1 juta (RM4.49 juta) dalam tempoh satu hari. Pengurus dana lindung nilai dan bilionair, Bill Ackman merupakan penyumbang terbesar dengan sumbangan AS$99,999 (RM408,846) dan berkongsi kempen itu di akaun X miliknya.

Di luar Hospital St George, orang ramai yang tidak dikenali datang untuk menunjukkan sokongan mereka.

Dua penduduk, Misha dan Veronica Pochuev meninggalkan bunga untuk Ahmed bersama anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun, Miroslava.

“Suami saya orang Russia, ayah saya Yahudi, datuk saya Muslim. Ini bukan hanya tentang Bondi, ini tentang setiap insan,” kata Veronica.

Seorang penduduk, Yomna Touni, 43, berada di hospital selama beberapa jam untuk menawarkan bantuan bagi pihak sebuah badan amal yang dikendalikan umat Islam yang turut mengumpul dana untuk Ahmed.

“Niat kami adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin dana bagi membantu pemulihan beliau dengan segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN