KUALA LUMPUR: Ukraine sedang mengintai peluang untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi melaksanakan projek pembinaan semula negara itu terutamanya rangkaian jalan raya, jambatan, terowong serta ratusan infrastruktur pintar yang musnah akibat perang berterusan dengan Russia.
Duta Besar Ukraine, Hennadii Nadolenko turut menggesa Malaysia mempertimbangkan pelantikan utusan khas bagi projek pembinaan semula Ukraine, selain menyatakan keyakinan terhadap kepakaran negara ini dalam projek-projek konsesi dan infrastruktur.
RAYU KEPAKARAN MALAYSIA
Ukraine memerlukan anggaran lebih AS$500 bilion (RM2.03 trillion) bagi melaksanakan usaha pembinaan semula, selepas sektor perumahan, pengangkutan, kemudahan dan tenaga menjadi antara yang paling teruk terjejas.
Proses pemulihan berskala besar itu memerlukan sokongan antarabangsa yang meluas, pelaburan sektor swasta, tenaga kerja dan kepakaran yang signifikan.
Nadolenko berkata, negaranya amat memerlukan kepakaran Malaysia, khususnya dalam bidang pembinaan konsesi, kejuruteraan jambatan dan terowong pintar, sambil menyifatkan model konsesi Malaysia sebagai luar biasa dan antara terbaik di peringkat global.
“Saya melihat peluang yang sangat besar untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi membina semula Ukraine pasca perang. Kami turut membuat permintaan kepada kerajaan Malaysia untuk menghantar utusan khas ke Ukraine bagi menjalin kerjasama melaksanakan misi ini.
“Bagi saya, model konsesi Malaysia amat luar biasa dan belum pernah saya lihat di mana-mana negara, khususnya dalam pembinaan jambatan dan terowong. Inilah kepakaran yang amat kami perlukan.
“Saya turut melihat Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk membawa masuk tenaga profesional, kepakaran teknikal serta perkongsian ilmu ke Ukraine kerana kami mahukan yang terbaik bagi memastikan proses pembinaan semula dilaksanakan secara cekap dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis minum petang bersama media anjuran Pejabat Kedutaan Ukraine di Kuala Lumpur kelmarin.
Pada majlis tersebut turut diadakan persembahan oleh pemain piano terkemuka Ukraine, Dr. Taras Filenko yang juga sarjana muzik dan duta budaya dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam persembahan muzik, muzikologi dan etnomuzikologi.
Selain memberikan persembahan penuh emosi, beliau turut berkongsi mengenai sejarah kesenian Ukraine yang cuba dipadam daripada perhatian dunia serta keadaan menyedihkan monumen dan lokasi penting yang musnah akibat peperangan selama lebih empat tahun.
Dalam pada itu, Nadolenko turut berharap hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara boleh digandakan dalam tempoh tiga tahun terutama melibatkan minyak sawit dan bijirin.
“Kami berharap Malaysia dapat mengeratkan hubungan, bersahabat, menyokong dan lebih rapat dengan rakan negara seperti kami yang mampu membawa lebih banyak perdagangan, serta peluang perniagaan.
“Bagi saya secara peribadi, Malaysia merupakan antara tonggak utama ASEAN dan menjadi negara yang amat penting bagi Ukraine, khususnya sebagai titik pusat kerjasama ASEAN terutamanya dalam bidang ekonomi.
“Justeru saya berharap dapat mencipta peluang dan hubungan dua hala yang lebih baik pada masa hadapan untuk kedua-dua negara,” katanya.
PEPERANGAN YANG MEMBAZIR
Berkongsi tentang keadaan terkini di Ukraine, beliau berkata, serangan Russia terhadap Ukraine mengorbankan purata lapan nyawa orang awam dan menyebabkan lebih 30 lagi cedera setiap hari.
Ribuan penduduk yang tinggal di pusat perlindungan sementara juga terpaksa bergelap dan hanya mendapat tenaga elektrik selama beberapa jam sehari.
Kanak-kanak pula kini perlu meneruskan persekolahan di dalam bunker atau terowong bagi mengelak bedilan bom.
Katanya, teknologi dron dan roket yang digunakan Moscow semakin canggih dan mampu memusnahkan kawasan dalam skala lebih luas serta menyebabkan korban lebih besar dalam satu bedilan.
“Keadaan kini amat menyedihkan, banyak nyawa orang awam melayang dan saya sendiri kehilangan beberapa ahli keluarga akibat peperangan dahsyat dengan Russia yang sudah terlalu lama berlarutan.
“Banyak wang dibazirkan mencecah AS$180 bilion (RM73 bilion) untuk peperangan ini sedangkan wang tersebut sepatutnya digunakan untuk memajukan negara dan membina infrastruktur yang lebih gah dan memberi manfaat kepada penduduk dunia,” katanya.











