Trump turun padang redakan kemarahan rakyat isu kos hidup - Utusan Malaysia

Trump turun padang redakan kemarahan rakyat isu kos hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berangkat ke Pennsylvania hari ini dalam usaha menenangkan kebangkitan rasa tidak puas hati rakyat berhubung kos sara hidup yang terus meningkat.

Lawatan itu turut menandakan kembalinya beliau kepada gaya kempen yang pernah mengembalikannya ke Rumah Putih, sambil memperkukuh mesej bahawa pentadbirannya sedang menurunkan inflasi.

Trump sebelum ini menolak isu kemampuan hidup sebagai “helah Demokrat”, namun tinjauan menunjukkan populariti beliau merosot, khususnya dalam aspek ekonomi.

Malah, terdapat suara tidak puas hati dalam pergerakan MAGA sendiri yang mahukan beliau memberi tumpuan kepada ekonomi berbanding rundingan keamanan luar negara.

Menurut pegawai Rumah Putih, Trump akan menghuraikan komitmennya untuk “menamatkan krisis inflasi peninggalan Joe Biden”, dengan ucapan dijadualkan berlangsung di pusat peranginan kasino Mount Airy, Pocono.

Presiden Republikan itu menegaskan harga barangan penting seperti daging lembu, telur dan kopi kini menurun, namun tetap mengakui wujud “masalah kemampuan hidup” yang sebelum ini beliau anggap sebagai propaganda politik.

Isu kos sara hidup turut menjejaskan sokongan rakyat terhadap beliau sejak kembali memegang jawatan pada Januari, dengan ramai mengaitkan beban itu kepada tarif yang diperkenalkannya.

Pada September, inflasi tahunan meningkat kepada 2.8 peratus, sekali gus menambahkan tekanan terhadap dasar ekonomi Trump.

Kegusaran dalam kalangan penyokong turut disuarakan bekas sekutunya, Marjorie Taylor Greene, yang mendakwa Trump gagal menjadikan polisi domestik sebagai tumpuan utama.

Sementara itu, Demokrat menggunakan isu kemampuan hidup sebagai modal politik dan merekodkan kemenangan besar dalam pilihan raya tempatan di New York, New Jersey dan Virginia.

Walaupun tidak layak bertanding pada 2028, Trump memberi tumpuan besar kepada pilihan raya pertengahan penggal 2026 yang dianggap kritikal kepada Republikan.

Ketua kakitangan beliau, Susie Wiles, berkata Trump akan diturunkan ke gelanggang kempen tahun depan bagi menggerakkan pengundi tegar yang mungkin culas keluar mengundi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN