Thailand dakwa Kemboja guna strategi 'pura-pura jadi mangsa keadaan'

Thailand dakwa Kemboja guna strategi ‘pura-pura jadi mangsa keadaan’

SEBUAH jambatan musnah akibat dibedil tentera udara Thailand di Pursat, Kemboja. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja terus berlarutan tanpa menunjukkan tanda-tanda reda, mendorong pegawai pertahanan dan penganalisis keselamatan memberi amaran mengenai kewujudan perang maklumat, konflik baharu yang melangkaui penggunaan senjata konvensional.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Laksamana Muda Surasant Kongsiri berkata, strategi ketenteraan Kemboja tidak tertumpu pada kekuatan semata-mata, sebaliknya memfokuskan usaha membentuk persepsi awam dan antarabangsa.

Beliau berkata, pihak berkuasa Kemboja didakwa mereka insiden, memanipulasi naratif serta menyebarkan maklumat palsu kepada masyarakat antarabangsa bagi menggambarkan Thailand sebagai pihak yang mencetuskan konflik.

STRATEGI KEMBOJA
Pegawai pertahanan berhujah pendekatan Kemboja banyak bergantung kepada operasi psikologi yang direka untuk menimbulkan ketakutan serta meraih simpati dalam kalangan rakyat dan pemerhati antarabangsa.

Pasukan Kemboja didakwa sering menyediakan senario yang dirancang lebih awal sebelum melancarkan serangan.

“Mereka mengatur imej rumah rosak, kanak-kanak melarikan diri daripada sekolah atau penduduk kampung mengadakan bantahan.

“Apabila pasukan Thailand bertindak balas terhadap provokasi, Kemboja kemudian mendakwa berlaku korban awam dan menuduh Thailand melanggar hak asasi manusia,” kata Surasant dalam temubual bersama Bangkok Post.

Beliau mendakwa, taktik demikian bertujuan mewujudkan perisai manusia serta menjebak Thailand sebagai penyerang di dalam forum global.

Penggunaan kawasan awam dan tapak warisan Kemboja sebagai tapak pementasan tentera turut merumitkan lagi naratif konflik.

Imej satelit menunjukkan kubu pertahanan Kemboja dibina di dalam kuil purba seperti Prasat Ta Kwai, sekali gus menimbulkan kebimbangan warisan budaya sedang ‘diperalatkan’ bagi tujuan propaganda.

Sementara tindak balas pasukan Thailand tertumpu kepada serangan tepat ke atas aset ketenteraan Kemboja sambil mengelakkan kawasan awam.

Surasant berkata, operasi Thailand dipandu oleh norma antarabangsa, dengan bukti dikumpulkan melalui analisis forensik, kamera pengawasan dan imej satelit.

“Kami menyasarkan depot senjata, pusat arahan dan hab kawalan dron. Tentera udara kami mengganggu rangkaian dron Kemboja, manakala sistem anti dron berjaya meneutralkan ancaman yang masuk,” katanya.

Pegawai turut mengakui pergantungan Kemboja kepada pelancar roket berganda seperti BM-21 dan PHL-03 menimbulkan risiko kepada kawasan awam berikutan ketidaktepatan senjata berkenaan.

“Senjata ini meliputi kawasan luas, memusnahkan rumah dan tanah pertanian. Kami sedang berusaha menjelaskan bentuk serangan tidak memilih sasaran ini kepada masyarakat antarabangsa,” kata Surasant.

PENINGKATAN DAN PEPERANGAN DRON

Konflik berkenaan kini berkembang dengan penggunaan dron berani mati. Kedua-dua pihak mengerahkan sistem udara tanpa pemandu, namun pegawai Thailand menegaskan serangan mereka terhad kepada objektif ketenteraan.

Menurut mereka, Kemboja menggunakan dron untuk menyerang kedudukan Thailand berhampiran kawasan awam, sekali gus semakin mengaburkan garis pemisah antara pihak bertempur dan orang awam.

Sebagai tindak balas, Thailand meningkatkan serangan udara ke atas pusat kawalan dron serta memperluas sistem pertahanan anti dronnya.

Penganalisis berpandangan, peperangan dron menandakan fasa baharu konflik, yang memerlukan penyesuaian pantas serta pelaburan teknologi.

Di luar medan perang ketenteraan dan maklumat, hala tuju konflik juga dipengaruhi oleh faktor politik dalaman.

Pensyarah Fakulti Sains Politik Universiti Rangsit, Prof Madya Wanwichit Boonprong berkata, pembubaran Parlimen Thailand pada Khamis secara tidak langsung memberi kesan terhadap situasi di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.

Menurut beliau, kerajaan sementara boleh berhujah ia tiada kuasa penuh untuk mengarahkan tentera seperti pentadbiran yang berfungsi sepenuhnya, meletakkan kawalan kawasan pertikaian di tangan pihak tentera.

Keadaan itu berpotensi angkatan tentera mengisytiharkan langkah kecemasan tambahan, dengan sokongan tersirat daripada kerajaan di sebalik tabir, katanya.

“Dari sudut politik, kerajaan mungkin dikritik kerana membubarkan Parlimen ketika konflik masih belum diselesaikan. Namun begitu, Parti Rakyat (PP) juga memikul tanggungjawab kerana menolak keadaan ke arah pembubaran,” katanya.

Boonprong berkata, status kerajaan sementara mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia menyukarkan campur tangan Amerika Syarikat, di samping memberi ruang yang lebih luas kepada pihak tentera untuk menguruskan ketegangan di sempadan.

CABARAN DIPLOMATIK

Konflik kini semakin mendapat perhatian kuasa besar dunia selepas rundingan terdahulu yang diusahakan negara pihak ketiga gagal menghasilkan keamanan berkekalan.

Pakar keselamatan bebas, Prof Madya Panitan Wattanayagorn berkata, taktik Kemboja dilihat bertujuan memanjangkan ketidakstabilan, selain mengambil kesempatan daripada tekanan luar.

“Jika rundingan akan datang diusahakan oleh Amerika Syarikat dan Malaysia, Thailand akan mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persediaan.

“Namun, Kemboja dilihat tergesa-gesa menghabiskan persenjataannya kerana menyedari campur tangan antarabangsa mungkin tidak lama lagi akan mengehadkan pilihan mereka,” katanya.

Beliau memberi amaran penglibatan AS membawa peluang dan juga risiko. Washington mungkin menangguhkan tekanan ke atas Thailand, sekali gus memberi ruang untuk mengukuhkan pertahanan, tetapi pada masa sama boleh mengurangkan sokongan ketenteraan atau mengehadkan penjualan senjata sebagai alat tekanan.

Sementara itu, Kemboja terus mendapat manfaat daripada sokongan China, walaupun Beijing kebelakangan ini memberi isyarat pendirian yang lebih berkecuali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN