WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) akan menghentikan amalan menembak babi dan kambing sebagai latihan kepada pegawai perubatan untuk merawat anggota tentera yang cedera di medan perang.
Langkah ini menamatkan amalan yang sudah lama dikritik dan digantikan dengan penggunaan simulator moden yang meniru kecederaan sebenar.
Larangan terhadap latihan tembakan langsung yang melibatkan haiwan itu terkandung dalam rang undang-undang pertahanan tahunan tahun ini, namun penggunaan haiwan untuk latihan perang lain masih dibenarkan.
Larangan ini disokong oleh Ahli Kongres Florida, Vern Buchanan yang terkenal menekankan isu hak haiwan dengan beliau menyifatkan langkah berkenaan sebagai langkah besar ke hadapan dalam mengurangkan penderitaan tidak perlu dalam amalan tentera.
Katanya, teknologi simulasi canggih kini membolehkan pegawai perubatan dilatih dengan realistik tanpa membahayakan haiwan.
Pejabat Buchanan menjelaskan Jabatan Perang masih membenarkan latihan yang melibatkan tikaman, pembakaran dan penggunaan alat tumpul ke atas haiwan, serta membenarkan ujian senjata terhadap haiwan.
Kumpulan hak haiwan menegaskan haiwan dibius sepanjang latihan dan ujian bagi memastikan mereka tidak menderita.
Pentagon merujuk sebarang komen mengenai polisi baharu itu kepada Agensi Kesihatan Pertahanan yang bertanggungjawab mengawasi latihan tersebut.
Kumpulan seperti People for the Ethical Treatment of Animals menyambut baik keputusan ini kerana ia dapat menyelamatkan ribuan haiwan setiap tahun dan menandakan peralihan ke arah teknologi simulasi moden yang lebih relevan.
Menurut laporan Government Accountability Office (GAO), haiwan digunakan dalam latihan trauma kerana organ dan tisu mereka menyerupai manusia, mempunyai variasi biologi yang mencabar rawatan, dan memberi peluang mengawal keadaan perubatan.
Haiwan dibius terlebih dahulu sebelum digunakan dan kemudian dimatikan selepas latihan.










